Petaling Jaya catat jumlah penyewa terbanyak semasa PKPB | DagangNews Skip to main content

Petaling Jaya catat jumlah penyewa terbanyak semasa PKPB


SHAH ALAM 21 Julai – Jumlah carian rumah sewa dalam platform sewaan kediaman dalam talian SPEEDHOME telah meningkat dengan memberangsang seperti Petaling Jaya mencatat 33%, Cyberjaya 26% dan Shah Alam 19% pada Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Whei Meng berkata, platformnya itu  mencatatkan peningkatan 20%-30% jumlah carian rumah sewa di setiap kawasan pada Mei lalu iaitu semasa memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

speed
  Wong Whei Meng

Katanya, kajian yang dilakukan syarikat ini juga mendapati latar belakang kebanyakan penyewa di platform ini adalah dalam lingkungan belia berusia antara 22 hingga 31 tahun dan kebanyakan daripada mereka bekerja makan gaji.

Penerimaan mereka terhadap konsep sewaan dalam talian juga lebih baik kerana status aliran tunai mereka yang agak ketat.

Harga sewaan kediaman yang dicari oleh pengguna dalam lingkungan ini juga adalah antara RM1,200 sehingga RM2,400 dengan jumlah carian dalam platform ini adalah sebanyak 100,000 hingga 900,00 kali di dalam 10 kawasan popular di Lembah Klang.

Penularan wabak COVID-19 telah menyaksikan peningkatan pengguna menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk membeli barangan dan perkhidmatan. Corak penggunaan ini bukan sahaja berlaku pada golongan muda malahan turut diikuti oleh pengguna senior juga dan dapat diperhatikan dalam kalangan pemilik rumah di platform ini yang telah berusia 50-an.

Selain itu, golongan penyewa muda turut mencari unit kediaman jenis rumah bertingkat dan lengkap berperabot. Bilangan penyewa yang mencari rumah sewa lengkap berperabot pada bulan Mei sahaja adalah sebanyak 780,000 kali, lebih dua kali ganda daripada rumah yang dihias dengan separa perabot atau unit kosong.

Whei Meng juga menggesa pemilik rumah untuk mencari penyewa untuk hartanah mereka segera kerana penamatan moratorium pinjaman bank ialah Oktober ini. Kitaran sewaan yang lengkap berperabot adalah 2 kali ganda lebih cepat disewakan berbanding unit kosong.

Digalakkan

Sekiranya pemilik rumah tidak pasti bagaimana mencari penyewa setelah rumah mereka dihiaskan, mereka digalakkan menghubungi agen hartanah atau mencari harga sewa secara dalam talian dan mengkaji sendiri peluang sewaan di kawasan mereka supaya dapat menarik minat penyewa untuk segera menyewa.

Beliau juga turut berkongsi beberapa perubahan terhadap pasaran sewa di kawasan Lembah Klang pada separuh kedua tahun 2020.

Dijangkakan ramai pelajar universiti dan kolej akan pulang semula ke kampus bermula Ogos sehingga September dan ‘lubuk’ kawasan sewa adalah apabila terdapat ramai pelajar akan pulih semula dan kadar kekosongan rumah sewa akan berkurangan.

Namun, sewaan bilik dilihat kurang permintaan dan kemungkinan di bawah tekanan tertentu, pemilik rumah akan menurunkan harga sewa untuk menarik minat penyewa.

Pada masa yang sama, penyewa warga asing yang berminat dengan sewaan jangka pendek (sewa 3 bulan) juga meningkat, terutamanya apabila penularan wabak ini telah mengganggu aturan pekerjaan mereka.

Sekiranya penyewa warga asing dapat menyediakan visa kerja yang sah dengan jaminan syarikat, platform sewaan ini mengesyorkan agar pemilik rumah menyewakan unit mereka dalam jangka masa pendek. Dengan berbuat demikian, ini akan membolehkan pemilik kediaman menjana sejumlah aliran tunai dalam tempoh moratorium pinjaman. - DagangNews.com