Petronas bina loji penapisan minyak bio di Pengerang menerusi JV bersama Enilive dan Euglena | DagangNews Skip to main content

Petronas bina loji penapisan minyak bio di Pengerang menerusi JV bersama Enilive dan Euglena

Kompeks Bersepadu Pengerang Petronas. - Gambar PETRONAS
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Julai - Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Enilive S.p.A dan Euglena Co., Ltd. (Euglena) mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk membangunkan loji penapisan minyak bio atau biorefinery di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) Petronas, Johor.

 

Ketiga-tiga syarikat tersebut akan menubuhkan syarikat usaha sama di Malaysia untuk membina dan mengendalikan loji bio tersebut, dengan Petronas Mobility Lestari Sdn Bhd (PMLSB), anak syarikat Petronas, dan Enilive sebagai pemegang saham utama.

 

Loji penapisan bio ini dijangka mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2028 dan akan mempunyai keupayaan untuk menghasilkan Sustainable Aviation Fuel (SAF) serta biofuel lain seperti Renewable Diesel/Hydrogenated Vegetable Oil (HVO).

 

Ini untuk memenuhi permintaan semakin meningkat dalam industri penerbangan dan pengangkutan global dengan memanfaatkan kepakaran setiap rakan kongsi.

 

Pembinaannya dijangka bermula pada suku keempat tahun ini dan setelah siap, biorefinari ini akan mempunyai keupayaan untuk memproses kira-kira 650,000 tan bahan mentah setahun untuk menghasilkan SAF, HVO, dan bio-naphtha.

 

Bahan buangan dan sisa untuk loji penapsan bio akan terdiri daripada minyak sayur terpakai, lemak haiwan, sisa daripada pemprosesan minyak sayur dan biomass lain termasuk minyak mikroalga yang akan diterokai pada pertengahan tempoh. 

 

Dengan memanfaatkan kemudahan dan utiliti PIC Petronas, loji bio ini akan terletak secara strategik berhampiran sumber bekalan bahan mentah sambil mempunyai akses mudah ke laluan perkapalan antarabangsa utama, meningkatkan keupayaannya untuk memenuhi keperluan pelanggan di seluruh dunia.

 

Loji penapisan bio baharu ini direka untuk mempunyai fleksibiliti sepenuhnya dari segi pemprosesan bahan mentah, dengan teknologi Ecofining yang canggih (teknologi yang dibangunkan oleh Eni dengan kerjasama Honeywell UOP) dan unit prarawatan, serta produk, dengan konfigurasi yang mampu memaksimumkan pengeluaran SAF untuk pesawat serta HVO.

 

Timbalan Presiden Petronas, Penapisan, Perdagangan dan Pemasaran, Ahmad Adly Alias berkata, sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian yang progresif, pencapaian ini akan mengukuhkan kedudukan Petronas dalam rantaian nilai biofuel melebihi daripada perdagangan.

 

Katanya, usaha ini membuka jalan bagi penubuhan ekosistem berasaskan biologi yang holistik di Malaysia yang akan menawarkan penyelesaian yang praktikal dan mampan untuk mengurangkan pelepasan karbon.

 

"Bersama rakan kongsi kami Enilive dan Euglena, kami akan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing untuk memajukan ekonomi berasaskan bio global dan menyediakan penyelesaian tenaga yang lebih bersih, berpatutan dan boleh diakses kepada pelanggan di seluruh dunia, terutamanya di Asia Pasifik.

 

"Kami percaya projek ini akan menyumbang kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan melihat kami melangkah ke arah aspirasi Petronas untuk Pengurangan Emisi Karbon Net-Zero 2050,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Enilive, Stefano Ballista berkata, keputusan pelaburan akhir untuk projek biorefinari di Malaysia mengesahkan komitmen Enilive dalam mencipta nilai dalam perniagaan biofuel.

 

"Ini adalah pencapaian penting untuk mencapai sasaran 2030 kami dengan kapasiti biorefinari lebih daripada 5 juta tan/tahun dan pilihan SAF hingga 2 juta tan/tahun.

 

"Sejak 2014, kami telah mengendalikan biorefinari di Itali dan baru-baru ini juga di Amerika Syarikat.

 

"Dengan inisiatif baharu ini dan kerjasama dengan Petronas dan Euglena, kami akan memasuki pasaran Asia dan mempunyai jejak global yang tersendiri,” jelasnya.

 

Pengasas dan Presiden Euglena Co., Ltd., Mitsuru Izumo berkata, "Saya benar-benar percaya bahawa ia adalah misi untuk syarikat permulaan seperti Euglena untuk mengambil langkah pertama dengan berani dan mencabar apa yang belum pernah dicuba oleh syarikat lain di Jepun. 

 

"Kami membina kemudahan pengeluaran biofuel berskala kecil pertama di Jepun dengan tujuan untuk menyokong kemajuan Jepun dalam biofuel. 

 

"Projek ini di Malaysia akan membolehkan kami membuka jalan menuju masyarakat neutral karbon ndan aspirasi di Jepun.

 

"Pasukan projek dari tiga rakan kongsi akan berusaha sebaik mungkin untuk membina dan mengendalikan biorefinari ini dengan kekuatan kepakaran dan bakat mereka.

 

"Euglena akan mempercepatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan mikroalga kami dan membekalkan minyak alga ke pasaran global. Biorefinari kami akan berjaya memenuhi permintaan biofuel yang semakin meningkat di negara-negara ASEAN di mana masa depan yang lebih cerah dan persekitaran yang lebih bersih dijanjikan," katanya. - DagangNews.com