Petronas, Emerson bekerjasama pacu transformasi digital dan inisiatif nyahkarbon | DagangNews Skip to main content

Petronas, Emerson bekerjasama pacu transformasi digital dan inisiatif nyahkarbon

KUALA LUMPUR 13 Dis - Petronas telah bekerjasama dengan syarikat teknologi dan perisian global Emerson bagi memacu transformasi digital dan inisiatif penyahkarbonan.

 

Memorandum persefahaman (MoU) itu akan membuka jalan kepada Petronas dan Emerson untuk bekerjasama dalam mengekstrak data diagnostik Highway Addressable Remote Transducer (HART) daripada instrumen lapangan dan sistem kawalan, membangunkan analisis ramalan yang berkesan serta mengoptimumkan prestasi instrumen jalur lebar.

 

Ketua Penyelesaian Teknikal, Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas, M Iskandar Bakeri berkata, Emerson mempunyai portfolio kepakaran industri yang komprehensif dan rangkaian pusat industri global.

 

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat meningkatkan keupayaan operasi jarak jauh serta mengukuhkan keselamatan siber kami dan pada masa yang sama, mempercepatkan pengurangan jejak karbon dan meningkatkan kecekapan aset dan kecemerlangan operasi.

 

“HART digunakan dalam aplikasi kawalan proses dan dalam pelaksanaan penambahbaikan keselamatan siber untuk mengukuhkan keupayaan pemantauan ancaman serta mencapai pematuhan tahap keselamatan yang lebih tinggi.

 

"Ia juga diguna untuk membangunkan penyelesaian pengukuran dan automasi untuk menyokong inisiatif kemampanan dan penyahkarbonan yang memfokuskan pada penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon, hidrogen dan ammonia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.

 

Petronas terus berusaha mengejar matlamatnya untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050 dengan usaha tertumpu untuk menyahkarbonkan operasinya melalui penyelesaian inovatif, terutamanya pada pilihan tenaga yang lebih bersih dan kecemerlangan operasi yang mengurangkan jejak karbon. - DagangNews.com