Petronas menang bidaan cari gali blok Agua Marinha di Brazil | DagangNews Skip to main content

Petronas menang bidaan cari gali blok Agua Marinha di Brazil

KUALA LUMPUR 20 Dis - Syarikat minyak dan gas negara, Petronas menerusi anak syarikat  Petronas  Petroleo Brasil Ltda (PPBL) dan rakan-rakan niaga berjaya memenangi blok cari gali Agua Marinha dalam bidaan regim perkongsian pengeluaran terbuka pertama yang diadakan di Rio de Janeiro. 

 

Ini menyaksikan PPBL akan menguasai 20% kepentingan penyertaan dalam blok yang terletak di Lembangan Campos manakala masing-masing Petrobras (operator atau pengendali) sebanyak 30%, TotalEnergies 30% dan QatarEnergy 20%.

 

Dalam kenyataannya, Petronas berkata Agensi Kebangsaan Petroleum, Gas Asli dan Bio Bahan Api Brazil (ANP) telah mengumumkan keputusan terbabit secara langsung pada 16 Disember 2022.

 

Naib Presiden Eksplorasinya, Mohd Redhani Abdul Rahman berkata, pihaknya teruja dengan keputusan hasil pusingan bidaan tersebut. 

 

"Kejayaan ini jelas membuktikan kelebihan daya saing Petronas untuk pembangunan mampan serta pengewangan aset di kawasan Lembangan Campos.

 

“Petronas juga kekal fokus untuk menjana lebih banyak nilai daripada aset ini dengan rakan-rakan selain pihak berkuasa terbabit,” katanya, lapor Bernama.

 

PPBL sebelum ini mengumumkan penemuan minyak pertama di telaga 4-BRSA-1386D-RJS di medan minyak Sépia di Lembangan Santos.

 

Ia mempunyai 21% kepentingan penyertaan dalam kawasan terbabit.

 

Selain itu, PPBL turut mempunyai kepentingan penyertaan dalam Tartaruga Verde (Konsesi BM-C-36) dan Module III medan laut dalam Espadarte (Konsesi Espadarte) selain tiga blok cari gali laut dalam C-M-541, C-M-661 dan C-M-715 di Lembangan Campos. - DagangNews.com