Petros meterai dua perjanjian menandakan bermulanya peranan sebagai agregator tunggal gas Sarawak | DagangNews Skip to main content

Petros meterai dua perjanjian menandakan bermulanya peranan sebagai agregator tunggal gas Sarawak

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan pertukaran GSA antara Petros dan Sarawak Petchem, diwakili oleh Janin pada pelancaran Kompleks Metanol Sarawak di Bintulu hari ini. -Gambar Alexander Nanta

KUALA LUMPUR 22 Julai - Petroleum Sarawak Bhd (Petros) menandatangani perjanjian penjualan gas (GSA) dengan Sarawak Petchem Sdn Bhd dan Sarawak Energy Bhd untuk memulakan peranannya sebagai agregator tunggal untuk membeli dan menjual semua gas asli di Sarawak.

 

Ini menandakan pemeteraian dua GSA pertama bagi Petros sebagai agregator gas, susulan pelaksanaan pindaan kepada Ordinan Pengedaran Gas Sarawak 2016 (DGO, 2016) di mana Petros telah dilantik sebagai agregator gas tunggal.

 

Kedua-dua GSA itu akan membolehkan Sarawak Petchem mempunyai akses kepada gas untuk loji metanolnya dan Sarawak Energy untuk penjanaan kuasa gasnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros, Datuk Janin Girie berkata, GSA adalah peristiwa bersejarah dalam pelaksanaan DGO untuk memastikan gas asli yang mencukupi tersedia untuk rakyat dan untuk pembangunan perindustrian Sarawak.

 

"Kami menghargai kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan Sarawak dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak untuk mendapatkan sumber gas asli domestik untuk keperluan jangka pendek, sederhana dan panjang," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Majlis pertukaran GSA antara Petros dan Sarawak Petchem serta Sarawak Energy disaksikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika melancarkan Kompleks Metanol Sarawak di Bintulu hari ini. 

 

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

 

Sebagai aggregator gas, Petros berkata, ia akan memastikan eksport gas dan gas untuk menambah nilai tempatan diperuntukkan "secara strategik dan adil.

 

petchem
Abang Johari Tun Openg merasmikan pelancaran Kompleks Methanol Sarawak di Bintulu hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Petros ambil alih kawalan aktiviti perdagangan gas asli Sarawak berkuat kuasa 1 Julai 2024

 

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Petronas mungkin kehilangan sebahagian hasil kepada Petros, perbelanjaan modal terjejas -RHB Investment

 

“Pertumbuhan ekonomi Sarawak yang berterusan memerlukan ketersediaan gas asli sebagai bahan api untuk penjanaan kuasa, industri komersial dan bahan mentah perindustrian.

 

"Adalah dijangkakan 30% daripada gas itu akan diperuntukkan untuk keperluan domestik menjelang 2030," katanya.

 

Bagi menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030, Janin berkata, Petros meneruskan usahanya untuk memberikan impak sebenar melalui peranan strategik kumpulan itu sebagai agregator gas.

 

Beliau berkata, pelaksanaan berterusan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) dan pembangunan infrastruktur penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) akan menjadi enjin pertumbuhan, menaikkan dan mengubah Sarawak menjadi kuasa ekonomi untuk negara dan rantau ini.

 

“Infrastruktur baharu dan projek berasaskan gas menambah nilai ini dijangka secara kolektif mewujudkan lebih 100,000 pekerjaan berkualiti tinggi di seluruh negeri untuk Sarawak.

 

"Dalam beberapa bulan akan datang, kami berharap untuk menandatangani semua perjanjian jual beli gas lain dengan penjual gas huluan dan pembeli gas hiliran," tambahnya.

 

Petros mengambil alih peranan Petronas sebagai pembeli dan penjual gas asli dan seterusnya menjalankan aktiviti berkaitan perolehan, pembekalan dan pengedaran gas asli yang dikeluarkan di Sarawak mulai 1 Julai lalu. - DagangNews.com