KUALA LUMPUR 13 Sept - Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan bahawan Pakatan Harapan (PH) tidak akan bersetuju usaha dapatkan pengampunan untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kami akan membincangkannya dalam Kerajaan Perpaduan dan kami akan membincangkannya dalam Kabinet.
"Tetapi saya menjangkakan PH tidak akan bersetuju dengan perkara ini," katanya ketika diminta mengulas mengenai pendirin PH menegai perkara itu di The Breakfast Grille BFM hari ini.
Terdahulu, Najib disabitkan pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Bekas Presiden UMNO itu mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022, selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya, diikuti Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman asal.
Pada April, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO sudah memohon Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempertimbangkan untuk memberikan Najib pengampunan diraja mengikut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Pemimpin PH seperti ahli parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Karim; veteran DAP, Lim Kit Siang dan pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad sebelum ini telah menentang cadangan pengampunan untuk Najib.
Perkara itu mendapat kritikan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, dan UMNO Kelantan .
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, walaupun beliau adalah sebahagian daripada lembaga pengampunan yang akan menyemak permohonan bekas Perdana Menteri untuk pengampunan diraja, tidak ada percanggahan kepentingan kerana keputusan muktamad pemberian pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong. - DagangNews.com