NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Nov - Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi sektor pembuatan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kini melabuhkan tirainya selepas berjaya memberi vaksin kepada lebih 1 juta pekerja dalam sektor itu.
Secara keseluruhannya, terdapat 78 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS di seluruh Malaysia yang beroperasi melalui dua pendekatan di tapak (On-site) dan PPV kegunaan umum (Common).
Sepanjang PIKAS berlangsung, seramai 1,065,801 orang pekerja dalam sektor pembuatan di seluruh negara telah berjaya menerima vaksin lengkap.
“PIKAS memainkan peranan penting dalam memastikan pembukaan sektor ekonomi dapat dilaksanakan dengan selamat seterusnya menyokong kelangsungan rantaian bekalan produk dan perkhidmatan, selain menyokong usaha mempercepatkan imuniti kelompok dalam negara.
"Model pelaksanaan PIKAS ini adalah contoh yang memperlihatkan kerjasama sektor awam dan swasta ke arah mencapai agenda negara untuk memperkasakan ekonomi dan menjamin perlindungan kesihatan awam.
"Melangkah ke hadapan, menjurus kepada kejayaan PIKAS, MITI akan meletakkan fokus kepada program Safe@Work yang akan mengukuhkan lagi usaha mewujudkan persekitaran kerja dan penginapan yang kondusif serta selamat bagi mempertingkatkan produktiviti pekerja industri di dalam fasa endemik,” kata Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan di sini hari ini.
PIKAS yang dilancarkan pada 16 Jun 2021 merupakan program imunisasi kerjasama awam dan swasta yang memberi fokus terhadap pekerja industri yang pertama dan terbesar di Malaysia.
Ia tercetus melalui sesi libat urus dengan persatuan-persatuan industri, dewan-dewan perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana serta kesatuan sekerja.
Ia telah dilancarkan sebagai Fasa 4 Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) bertujuan untuk membantu mencapai imuniti kelompok dalam kalangan rakyat khususnya pekerja di sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan.
Kejayaan PIKAS adalah hasil daripada persefahaman dan perkongsian sumber sektor awam dan swasta dengan kerajaan komited menyediakan vaksin secara percuma manakala pihak swasta membiayai kos penyediaan serta pentadbiran PPV termasuk perkhidmatan kesihatan swasta.-DagangNews.com