PKP kedua, Malaysia akan ‘tenat’ | DagangNews Skip to main content

PKP kedua, Malaysia akan ‘tenat’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Negara kini di ambang dilema, terpaksa membuat pilihan di antara kesihatan dan ekonomi.

 

Melihatkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang saban hari mencecah empat digit, sudah pasti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh akan ada tukar ganti (trade off) antara kedua-duanya.

 

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan sebaliknya mempertimbangkan langkah pelaksanaan PKP yang lebih bersasar dan strategik.

 

Penyelidik dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid melihat cadangan yang diutarakan oleh kementerian itu mungkin boleh membawa kepada usaha serampang dua mata. 

 

Baharom Abdul Hamid
Baharom Abdul Hamid

 

“Merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, saya dapat melihat bahawa beliau telah mengambil kira kesan ekonomi yang bakal terjadi jika PKP diperkenalkan kembali, namun beliau juga ingin kita mengambil kira kekangannya, sehinggakan beliau mengatakan bahawa situasi sekarang agak tenat.

 

“Sebarang keputusan haruslah mengambil kira kos dan faedah, bukan sahaja untuk jangka masa pendek, tapi juga untuk jangka masa panjang. Ekonomi negara yang sepatutnya di dalam fasa pengukuhan, kini masih dalam fasa pemulihan.

 

“Insentif-insentif kerajaan seperti Prihatin dan Penjana tidak dapat 'berkhidmat' sepenuhnya seperti yang dijangka,” kata Baharom yang merangkap Naib Presiden Persatuan Ekonomi Gunaan Asia Pasifik (APAEA) kepada DagangNews.com.

 

Peningkatan kes COVID-19 baharu yang berterusan mula memberikan tekanan kepada sektor kesihatan, di mana kapasiti untuk menempatkan pesakit dikhuatiri tidak lagi mampu ditampung. 

 

Baca : PKP dilaksanakan semula? Ini faktanya

 

Keadaan ini mendorong Kementerian Kesihatan terpaksa melakukan rayuan kepada pihak kerajaan untuk melakukan kembali PKP secara strategik dan bersasar.

 

Tambah Baharom, satu hakikat yang terpaksa diakui walaupun pahit iaitu Malaysia tidak mampu untuk mengharungi PKP secara menyeluruh. 

 

Ujarnya lagi, pelaksanaan itu akan merencatkan ekonomi, malah harganya terlalu tinggi kerana negara pernah mengalami kerugian harian RM2.4 bilion sehari semasa PKP yang lalu. 

 

“Apa yang perlu dilakukan oleh pembuat polisi ialah melaksanakan perintah strategik, PKP bersasar, dan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih jitu. Kawasan atau zon merah harus diisolasikan, sementara hotel atau homestay di kawasan khas merah atau bahaya diguna pakai untuk penempatan mereka yang dijangkiti.

 

“Ini akan menjadi serampang dua mata, di mana beban kementerian kesihatan dapat dikurangkan, dan aktiviti ekonomi membantu pengusaha hotel dan homestay dapat dijalankan.

 

"Jika PKP menyeluruh diperkenalkan, dijangka kerugian harian akan melampaui RM2.5 bilion sehari, jauh lebih daripada kerugian tempoh hari,” tambahnya. 

 

Melihat kepada keadaan semasa, ramalan awal untuk ekonomi negara bertumbuh positif pada suku pertama atau kedua tahun 2021 mungkin sedikit tergelincir, ramal Baharom. 

 

Setakat 6 Januari 2021, Malaysia mencatatkan sehingga 2,589 kes positif baharu dengan Selangor menyaksikan jumlah tertinggi. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencedahkan bahawa Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan bermula Mac hingga Jun 2020. 

 

Selepas tempoh PKP, Malaysia mula 'menarik nafas' lega apabila mampu mencatatkan satu digit sahaja kes harian yang kebanyakannya berpunca daripada rakyat asing. 

 

Namun, graf jumlah jangkitan harian mula mencanak semula bermula September sehingga merencatkan perancangan pemulihan ekonomi negara.

 

Ini memaksa kerajaan untuk melaksanakan semula PKP Bersyarat (PKPB) bermula di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Sabah.

 

Baca : Malaysia rugi RM28.8 bilion jika Lembah Klang dikenakan PKPDB

 

DagangNews.com yang memetik nota kajian CGS-CIMB Research pada 2 Oktober 2020 melaporkan, Malaysia dijangka mengalami kerugian sehingga RM28.8 bilion sekiranya kawasan Lembah Klang dikenakan PKP Diperketatkan Bersasar (PKPDB) atau 1.9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

Baca : Sukar untuk Malaysia laksana PKP kedua, kata Bank Dunia

 

Malah, Bank Dunia sendiri melontarkan pandangan bahawa sukar untuk Malaysia menempuh PKP kali kedua disebabkan oleh defisit negara yang signifikan. - DagangNews.com