PKPB jejas sedikit prestasi ekonomi Oktober, November - Mustapa  | DagangNews Skip to main content

PKPB jejas sedikit prestasi ekonomi Oktober, November - Mustapa 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Langkah pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Sabah, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka menjejaskan sedikit prestasi ekonomi pada bulan Oktober dan November. 

“Walau bagaimanapun, kesan negatif ke atas pertumbuhan ekonomi pada tahun ini adalah bersifat sementara dan dijangka pulih pada tahun 2021. 

“Beberapa petunjuk ekonomi pada bulan Ogos dan September 2020 telah menunjukkan prestasi ekonomi adalah lebih baik berbanding dengan prestasi separuh pertama tahun 2020,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam pertanyaan lisan Dewan Rakyat hari ini. 

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

 

Beliau menjawab soalan Datuk Fasiah Mohd. Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) berhubung sejauh mana impak ekonomi daripada pandemik COVID-19 khususnya kepada individu, isi rumah dan syarikat perniagaan serta pelbagai sektor ekonomi negara keseluruhannya, dasar, mekanisme dan langkah untuk memacu ekonomi ke arah berdaya tahan dan mapan.

Tambah Mustapa, pandemik COVID-19 telah memberi skala dan kesan kepada individu, isi rumah dan syarikat perniagaan serta hampir semua sektor ekonomi jauh melebihi jangkaan dan negara-negara di seluruh dunia telah menghadapi penguncupan ekonomi yang ketara. 

Jelasnya, ini termasuk jangkaan penguncupan pertumbuhan ekonomi iaitu 4.4% pada tahun ini, iaitu paling teruk sejak perang dunia kedua, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). 

“Malaysia juga tidak terkecuali. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah menguncup sebanyak 8.3% dalam tempoh separuh pertama 2020.

“Mengambil kira kedudukan ekonomi yang terkini, pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dianggar menguncup di antara 5.5% hingga 3.5% pada tahun 2020 dan dijangka berkembang pada tahun 2021 dalam lingkungan antara 5.5% hingga 8%,” kata Mustapa. 

Ujar Mustapa, pelbagai langkah bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi dan memelihara kesejahteraan rakyat akan diperkenalkan dalam Bajet 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November 2020.

Dalam pada itu, kerajaan melalui Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sedang memuktamadkan penyediaan pelan pemulihan ekonomi jangka panjang. - DagangNews.com