PKPD: Hanya syarikat perkhidmatan perlu dibenar beroperasi dengan surat baharu CIMS 3.0 | DagangNews Skip to main content

PKPD: Hanya syarikat perkhidmatan perlu dibenar beroperasi dengan surat baharu CIMS 3.0

PKPD

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Hanya syarikat-syarikat disenarai sebagai sektor perkhidmatan perlu di dalam SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi lokasi Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenar beroperasi menggunakan surat baharu COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, surat CIMS 3.0 yang baharu itu mempunyai akronim ‘PPN’ di bawah kod QR surat berkenaan.

 

Susulan itu, syarikat di kawasan PKPD yang bukan di bawah senarai sektor perkhidmatan perlu di dalam SOP MKN adalah tidak dibenarkan beroperasi sama sekali.

 

.

 

"Sebagaimana pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 Julai 2021, pergerakan syarikat dalam sektor perkhidmatan perlu bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) boleh menggunakan surat CIMS 3.0 sedia ada (dengan akronim PKP 3.0 di bawah kod QR).

 

"Semua surat kelulusan CIMS 3.0 perlu dibaca bersama-sama SOP PKPD semasa yang berkuat kuasa," jelas MITI dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam kenyataan sama, MITI turut mengingatkan pihak industri agar bertanggungjawab dalam pemberdayaan kendiri dan mematuhi SOP.

 

Jelas MITI, ketidakpatuhan adalah satu kesalahan undang-undang menikut Akta 342 dan boleh dikenakan tindakan oleh Pasukan Petugas Khas COVID-19.

 

Platform CIMS 3.0 dikongsi dengan 17 Kementerian dan 3 Agensi.

 

Setiap permohonan akan diproses dan diluluskan setiap kementerian dan agensi mengikut portfolio masing-masing. 

 

Syarikat boleh merujuk terus kepada kementerian atau agensi bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan status permohonan di laman web www.miti.gov.my. - DagangNews.com