PUTRAJAYA 27 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan tiga matlamat dalam Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2.0 (DPKM 2.0) iaitu meningkatkan status pemakanan, mengurangkan prevalen penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan dan memperkukuhkan sekuriti makanan serta pemakanan.
Perdana Menteri berkata, bagi mencapai matlamat DPKM 2.0, sebanyak 13 strategi dibentuk untuk memastikan kesejahteraan pemakanan rakyat Malaysia.
"Kesemua strategi dirangka itu bersifat menyeluruh bagi memenuhi tiga matlamat DPKM 2.0," katanya ketika melancarkan DPKM 2.0 secara maya hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM); Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Muhyiddin berkata, DPKM 2.0 adalah iltizam kerajaan untuk meningkatkan dan mengekalkan kesejahteraan pemakanan masyarakat melalui tiga matlamat terbabit.
Perdana Menteri berkata, pemakanan sihat menjadi kunci kepada kesihatan yang baik manakala makanan menjadi asas kepada keperluan kehidupan.
Beliau berkata, pembangunan sosio-ekonomi yang pesat di Malaysia termasuk perubahan gaya hidup dan amalan pemakanan memberi kesan kepada kesejahteraan pemakanan dan pola penyakit dalam masyarakat.
Katanya, ia menyebabkan negara berhadapan masalah beban berganda pemakanan dengan peningkatan kadar obesiti di setiap peringkat usia dan masalah kekurangan pemakanan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun. - DagangNews.com