Pos Malaysia utamakan bekas ejen Pos Rider jadi `part timer' | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia utamakan bekas ejen Pos Rider jadi `part timer'

Gambar The Star

 

KUALA LUMPUR 4 Julai – Pos Malaysia ingin memberikan penerangan lanjut berkenaan rasionalisasi program khidmat luaran (outsourcing) Pos Rider baru-baru ini, yang dilaksanakan pada 1 Julai 2021.

 

Pos Malaysia mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan oleh ejen-ejen Pos Rider yang terlibat dengan pelaksanaan rasionalisasi tersebut.

 

"Program Pos Rider telah membantu syarikat untuk menyampaikan lebih banyak bungkusan sejak diperkenalkan pada tahun 2019, dan kami mengucapkan terima kasih kepada semua ejen Pos Rider yang telah berkhidmat dalam inisiatif ini.

 

"Walau bagaimanapun, dua perubahan utama pada segmen pos dan kurier telah mendorong kepada pelaksanaan rasionalisasi ini," kata Pos Malaysia dalam satu kenyataan.

 

Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat penurunan ketara dalam jumlah mel biasa di seluruh negara. Seiring dengan penurunan ini, pertumbuhan e-dagang pula telah memperkembangkan perniagaan kurier. Pandemik COVID-19 juga telah mendorong perkembangan perniagaan kurier, kerana semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk kekal berada di rumah dan membeli-belah secara dalam talian.

 

"Penurunan jumlah mel biasa telah menyebabkan lebihan kapasiti tenaga kerja dalam kalangan kakitangan posmen kami. Maka amat wajar bagi Pos Malaysia untuk membuka peluang kepada posmen-posmen ini menghantar bungkusan kurier; mereka dapat memperoleh pendapatan tambahan dan memenuhi lebihan kapasiti ini.

 

"Namun demi keseimbangan, Pos Malaysia kini memutuskan bahawa bekas ejen Pos Rider akan diberi keutamaan ketika ada peningkatan jumlah bungkusan, dalam kapasiti secara sambilan," kata Pos Malaysia.

 

Jumlah bungkusan lazimnya melalui peningkatan pada waktu-waktu tertentu sepanjang tahun; ini didorong oleh jualan khas oleh peruncit, musim perayaan, jualan tarikh khas (seperti 9.9 atau 11.11) dan seumpamanya. Ini akan membolehkan bekas ejen Pos Rider memanfaatkan lonjakan tersebut, sekaligus membantu Pos Malaysia mengekalkan kecekapan kos.

 

"Pos Malaysia kekal komited untuk memastikan kemampanan dan daya maju perniagaannya. Oleh itu, dengan pandemik yang mempengaruhi segmen perniagaan lain dalam Kumpulan, perancangan semula strategi, kos dan penggunaan sumber untuk perniagaan kami akan terus dilakukan," kata syarikat itu. - DagangNews.com