Potongan OPR: Apakah kesannya kepada anda? | DagangNews Skip to main content

Potongan OPR: Apakah kesannya kepada anda?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Prestasi saham Malaysia hari ini didorong oleh penantian keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap kadar dasar semalaman (OPR) yang bakal diputuskan hari ini. 

Ini menunjukkan betapa besar pengaruh OPR sehingga memberi impak ke atas prestasi pasaran tempatan dan apakah pula kesannya kepada pengguna.

OPR bertindak sebagai kadar faedah dalam pinjaman sesebuah bank kepada bank yang lain dan ia ditetapkan oleh BNM. 

Bagaimanapun, kadar OPR itu sendiri meletakkan petunjuk kepada prestasi keseluruhan ekonomi di negara ini termasuk prestasi pengambilan pekerja, inflasi dan sistem perbankan.

Pada tahun ini sahaja, BNM telah memotong sebanyak empat kali OPR bagi membantu ekonomi negara untuk pulih akibat penularan COVID-19. 

 

Impak pemotongan OPR kepada pengguna adalah:

i. Kadar faedah pinjaman rendah

Sebarang perubahan dalam OPR akan memberi kesan kepada kadar faedah pinjaman yang diberikan kepada pelanggan. 

Impak itu melibatkan Kadar Dasar (BR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR).

Semakin rendah OPR, semakin rendah BR.

ii. Pulangan rendah dalam deposit tetap dan simpanan

Pengurangan OPR merupakan berita gembira untuk peminjam, namun ia memberi kesan kepada pulangan oleh akaun penyimpan dan deposit tetap. 

Walaupun pengurangan OPR memberi faedah kepada kebanyakan pengguna atau peminjam, namun ini bukan bermaksud pemain industri perbankan akan menerima manfaat sama. 

Semakin tinggi pemotongan OPR, semakin rendah margin keuntungan bank-bank di negara ini. 

Sebaliknya, syarikat-syarikat dan perniagaan pula dapat merendahkan kos pinjaman mereka seterusnya perbelanjaan domestik dapat dipertingkatkan. 

 

Keputusan BNM terhadap potongan OPR hari ini

Perjumpaan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) oleh BNM pada 10 September lalu membuat keputusan untuk mengekalkan kadar OPR pada 1.75% susulan keadaan pemulihan ekonomi yang bertambah baik. 

Ketika itu, Malaysia berjaya mengekang penularan kes jangkitan COVID-19 sekali gus meletakkan sinar harapan lonjakan pertumbuhan ekonomi negara. 

Namun begitu, dengan kes jangkitan COVID-19 yang kembali meningkat sehingga mencecah empat angka mencetuskan ramalan bahawa BNM akan memotong OPR dalam mesyuarat hari ini. 

CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya pada 22 Oktober lalu menjangkakan BNM akan menurunkan 25 mata asas (bps) lagi dalam OPR.

"Inflasi yang rendah memberi ruang untuk pelonggaran dasar monetari.

"Oleh itu, kami melihat kemungkinan ada penurunan dalam OPR sebanyak 25bps oleh BNM pada 3 November 2020.

"Ia adalah sebagai reaksi terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijalankan selama dua minggu yang akan mengurangkan 0.18%pt (mata peratusan) dari KDNK untuk tahun 2020," jelas CGS-CIMB. - DagangNews.com