KOTA SAMARAHAN 16 Dis — Kerajaan Sarawak meminta Kerajaan Pusat mengiktiraf Jabatan Kerja Raya negeri, Jabatan Saliran dan Pengairan negeri serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar dalam tempoh sebulan, kata Tan Sri Abang Johari Openg hari ini.
Premier Sarawak berkata permohonan itu telah dikemukakan melalui Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof untuk perbincangan dan kelulusan kerajaan Persekutuan.
"Isu pengiktirafan kepada tiga jabatan sebagai jabatan teknikal adalah yang tidak memerlukan banyak perbincangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pembinaan fasa satu Sistem Pengangkutan Bandar Kuching dan depoh Rembus di sini.
Beliau berkata kerajaan negeri mahu semua projek yang dibiayai oleh Persekutuan di Sarawak dilaksanakan oleh jabatan-jabatan ini sebaik sahaja ia diluluskan sebagai jabatan teknikal.
Abang Johari, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), berkata perkara lain yang ingin diselesaikan kerajaan negeri dengan cepat dengan kerajaan Persekutuan ialah permintaan untuk mendapatkan wakil negeri dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau berkata di bawah Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), perlu ada wakil dari Sarawak untuk berada di dalam LHDN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memberi kepercayaan kepada Fadillah untuk menyelesaikan perkara berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tidak memerlukan kelulusan parlimen dalam tempoh satu bulan.
Pada sidang media pada 8 Disember, Fadilah berkata beliau telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali untuk berbincang dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagi melihat apakah keutamaan di peringkat Sabah.
Beliau berkata apa yang boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan oleh kerajaan persekutuan akan diselesaikan manakala selebihnya perlu dibawa ke Parlimen untuk kelulusan.
Katanya, beliau berharap perkara yang telah dibincangkan sebelum ini dapat dimuktamadkan dalam tempoh yang ditetapkan. — DagangNews.com