Press Metal diunjur terus berdepan gangguan rantaian bekalan akibat ketegangan geopolitik - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Press Metal diunjur terus berdepan gangguan rantaian bekalan akibat ketegangan geopolitik - RHB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - RHB Research mengunjurkan Press Metal Aluminium Berhad terus berdepan gangguan rantaian bekalan akibat ketegangan geopolitik melibatkan Rusia-Ukraine selain peralihan permintaan ke arah proses nyahkorabon bagi menyokong harga aluminium dalam masa terdekat.

 

Firma itu berkata, pihak pengurusan kumpulan mempunyai polisi untuk melindungi nilai sebanyak 35% dan 25%, atau AS$2,500 (RM11,185) dan AS$2,550 (RM11,408) untuk 2023-2024 (berbanding kedudukan biasa 65% dan 35% dilindung nilai dan tidak dilindung nilai).

 

"Kami mengurangkan unjuran harga aluminium untuk 2022-2023 kepadaAS$2,500 (RM11,185) dan AS$2,550 (RM11,408) serta andaian premium Pelabuhan Utama Jepun (MJP) untuk 2022 kepada AS$120 (RM537)

 

"Dari segi perolehan alumina, harga alumina pada tahun 2022 dijangka lebih tinggi daripada pasaran memandangkan 50% daripada kos alumina telah dilindung nilai apabila kos aluminium.

 

"Kami menaikkan nisbah kos alumina kepada aluminium 2022 kepada 14.5% daripada 14%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) meningkat kepada RM409.17 juta berbanding RM255.58 juta untuk suku sama tahun lalu  disokong oleh hasil dan sumbangan yang lebih baik daripada syarikat bersekutu.

 

Hasil kumpulan meningkat kepada RM4 bilion berbanding RM2.64 bilion pada 2QFY21 disebabkan oleh harga logam yang lebih tinggi dan pengeluaran.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersih kumpulan melonjak kepada RM830.19 juta daripada RM461.30 juta. 

 

Hasil kumpulan meningkat kepada RM7.93 bilion berbanding RM4.74 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.58.

 

"Bagaimanapun kumpulan itu berdepan risiko termasuk kemerosotan mendadak dalam keadaan ekonomi global dan kenaikan kos bahan mentah dalam keadaan ekonomi global tidak menentu," katanya. - DagangNews.com