PASARAN ekuiti Malaysia masih ketinggalan di belakang Indonesia, Thailand dan Singapura. - Gambar Reuters
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 30 Jun - Malaysia berada di kedudukan paling akhir daripada 14 indeks pasaran saham utama di dunia, ketinggalan di belakang negara-negara jiran iaitu Indonesia, Thailand dan Singapura.
Berdasarkan laporan ramalan separuh kedua tahun 2021 (2H21) oleh MIDF Research, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah merosot -4.2% kepada 1,559.68 setakat Jun 2021.
Menjelang penghujung separuh pertama 2021 (1H21) ini, tidak mustahil FBM KLCI masih berprestasi lebih lemah berbanding indeks-indeks pasaran setaranya, menurut MIDF.
Malah, FBM KLCI dijangka menjadi satu-satunya pasaran ekuiti yang tidak berprestasi pada tahun ini.
“Kami percaya bahawa beberapa faktor, sama ada secara serentak atau bebas, telah menyumbang kepada prestasi yang tidak memberangsangkan oleh FBM KLCI.
“Kesemua faktor ini, dalam pandangan kami, mungkin kerana kemerosotan sektor sarung tangan dari paras tertinggi, gelombang keempat jangkitan baharu COVID-19 yang menyebabkan sekatan lebih ketat dan impak kecil daripada kenyataan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS),” jelas firma itu.
Sektor sarung tangan yang menjadi tumpuan para pelabur pada tahun lalu menyaksikan prestasi harga saham yang sebaliknya pada tahun 2021.
Setakat hari ini, indeks penjagaan kesihatan di pasaran ekuiti Malaysia telah merosot -17.7%.
Walaupun indeks itu melonjak dari segi prestasi suku tahunan, namun ini tidak cukup untuk menampung kemerosotan yang dicatatkan pada sepanjang suku pertama 2021 (1Q21).
MIDF meramalkan sentimen negatif berjangka pendek akan terus berlegar dalam pasaran.
“Salah satu faktor adalah situasi pandemik ketika ini, tetapi, seperti yang kami katakan, situasi yang kita hadapi sekarang berbeza dengan tahun lalu.
“Tambahan lagi, kami percaya bahawa pengurusan masalah ini akan lebih baik berdasarkan pengalaman yang dimiliki kerajaan dan pengawal selia dalam menangani pandemik COVID-19, ditambah dengan program vaksinasi yang dipercepatkan.
“Faktor lain yang mungkin berlaku dalam 2H21 adalah tindakan Perbendaharaan AS yang boleh merosakkan pasaran ekuiti baru muncul,” kata MIDF lanjut.
Dalam masa sama, MIDF tidak menafikan situasi politik dalam negara juga akan menjejaskan pasaran apabila Parlimen dibuka, dijangka pada September depan.
Bagaimanapun, 'sinar' pemulihan ekonomi masih lagi kelihatan pada sepanjang tahun ini, walaupun dalam kadar yang sederhana.
MIDF mengekalkan unjuran FBM KLCI pada 1,700 mata menjelang hujung tahun 2021. - Dagangnews.com