Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Syarikat automotif Tan Chong Motor Holdings Berhad (Tan Chong Motor) dijangka mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM5 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21).
MIDF Research berkata, jangkaan itu dinilai kepada prestasi yang kurang memberangsangkan pada suku kedua 2021 (2Q21) yang diumumkan minggu lalu.
"Susulan penyusutan perolehan pada 2Q21 minggu lalu, kami meletakkan jangkaan bahawa Tan Chong Motor akan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM5 juta berbanding keuntungan bersih RM24 juta pada sebelumnya.
"Unjuran ini juga mencerminkan gabungan model yang kurang digemari yang dijual pada suku kedua 2021 selain kesan 'lockdown' selama 2.5 bulan," jelas MIDF Research.
Dalam kenyataan sama, MIDF Research turut mengurangkan unjuran keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2022 kepada RM6 juta berbanding RM32 juta pada sebelumnya.
Susulan itu juga, pihaknya meletakkan sasaran jualan keseluruhan industri (TIV) kenderaan Nissan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022, masing-masing sebanyak 5% kepada 13,000 dan 13,400 unit.
Bagi rekod, Tan Chong Motor merekodkan peningkatan perolehan sebanyak 8% suku ke suku kepada RM638 juta pada 2Q21.
Bagaimanapun, pendapatan sebelum faedah, pajak, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) turun sebanyak 59% suku ke suku kepada RM29 juta susulan kejatuhan margin EBITDA sebanyak 7.5 mata kepada 4.6%.
Melangkah kehadapan, syarikat berkenaan memberi keyakinan dapat kembali ke tahap sebelum 'lockdown' dengan prestasi jualan sekitar 1,100 hingga 1,200 unit setiap bulan.
Keyakinan itu diberi meskipun belum menerima tempahan yang luar biasa.
"Kami kekalkan saranan 'neutral' saham Tan Chong Motor ketika ini, tetapi kami naikkan harga sasaran sesaham (TP) kepada RM1.22 berbanding hanya RM1.00 pada sebelumnya," tambah MIDF Research lagi. - DagangNews.com