Program Subsidi Bersasar dijangka dilaksana sepenuhnya pada 2024 - Rafizi | DagangNews Skip to main content

Program Subsidi Bersasar dijangka dilaksana sepenuhnya pada 2024 - Rafizi

KUALA LUMPUR 11 Sept - Kerajaan menjangkakan Program Subsidi Bersasar akan dapat dilaksana sepenuhnya bermula pada 2024.

 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia selepas Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka melalui tempoh percubaan mulai November ini sebelum dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024 untuk kegunaan pengesahan maklumat peribadi.

 

"Kaedah sama ada menerusi pindahan tunai atau pemberian kad akan diputuskan dari semasa ke semasa. Keutamaan kita sekarang maklumat isi rumah lengkap dulu dalam PADU.

 

"Kalau kita lihat garis masa itu, PADU sudah diuji dan dibuka kepada orang ramai dalam Januari 2024. Pandangan saya, Program Subsidi Bersasar akan mula dilaksana pada 2024," katanya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen selepas selesai pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat, di sini hari ini, lapor Berita Harian.

 

Menyentuh kaedah dan mekanisme pelaksanaannya, Rafizi berkata, sama ada ia menerusi pindahan tunai, berdasarkan pemberian kad khas atau agihan di pam stesen minyak, semuanya akan diputuskan dari semasa ke semasa.
 

 

rafizi
RAFIZI RAMLI

 

"Keutamaan kita sekarang maklumat sosioekonomi isi rumah kena lengkap dulu dalam PADU. Itu lebih penting berbanding kita mahu guna kad pengenalan ke, pindahan (kredit) terus ke akaun atau mahu pakai pam. Inilah fokus kita sekarang," katanya.

 

Pada 15 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju menubuhkan PADU untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.

 

PADU akan mengumpul seberapa banyak maklumat sosio ekonomi isi rumah sekali gus membantu kerajaan mengagihkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan.

 

PADU akan menjadi penyelaras data antara agensi-agensi sedia ada termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Semalam, Rafizi juga berkata setakat ini, proses pembangunan sistem PADU yang menggabungkan maklumat sosioekonomi bagi setiap isi rumah rakyat Malaysia berjalan lancar mengikut garis masa dirancang. - DagangNews.com