Projek DASH : Melima tuntut RM100 juta daripada Turnpike | DagangNews Skip to main content

Projek DASH : Melima tuntut RM100 juta daripada Turnpike

 

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Melima Consortium, yang terdiri daripada sekumpulan 4 subkontraktor dilantik untuk menyelamatkan sebahagian projek pembinaan Damansara-Shah Alam Elevated Expressway (DASH) CA4 menuntut RM100 juta daripada kontraktor turnkey projek berkenaan, Turnpike Synergy Sdn Bhd.

 

Ini berikutan pertikaian undang-undang antara Turnpike dan kontraktor utama projek, Panzana Enterprise Sdn Bhd (Panzana), menurut kenyataan yang dikeluarkan peguam Melima, Thomas Philip Advocates and Solicitors semalam.

 

Wakil Melima, Alex Toong berkata, mereka dibawa untuk 'menyelamatkan' sebahagian projek DASH CA4 berikutan pertikaian antara Panzana dan subkontraktor sebelum itu dan pada ketika itu, belum terdapat sebarang binaan struktur.

 

"Sejak lebih 2 tahun lalu, kami telah menyerahkan segala sumber kewangan dan usaha untuk menyiapkan 3.6 kilometer (km) daripada 4km struktur tinggi ini.

 

"Kami juga telah menjalankan skop kerja seperti dimina dan mengemukakan tuntutan kemajuan yang mana ia disahkan oleh perunding projek yang menyelia kerja-kerja kami," jelasnya. 

 

Melima juga memaklumkan, mereka diminta menghentikan kerja-kerja pembinaan pada Mac lalu apabila Turnpike, yang juga ahli di bawah kumpulan syarikat Prolintas, menamatkan kontrak mereka dengan Panzana.

 

Toong menambah, mereka juga tidak diberikan bayaran, meskipun terpaksa merayu bahawa mereka perlu membayar pekerja, pembekal dan pembiaya kewangan, gagal mendapat sebarang reaksi.

 

"Hakikatnya dengan tuntutan kira-kira RM100 juta ini bagi kami, sebenarnya kami dalam keadaan yang teruk.

 

"Sebelum ini, kami telah menekankan kepada Turnpike bahawa bahagian kerja Melima bagi DASH CA4 mencapai 90% siap dan Melima mempunyai pengetahuan, kapasiti dan bahan mencukupi untuk menyiapkan projek ini dalam tempoh 6 bulan," katanya.

 

Beliau turut menjelaskan, secara dasarnya, pihaknya bersedia untuk membantu Turnpike menyiapkan keseluruhan struktur tersebut atau menyelesaikan mana-mana bahagian yang telah siap.

 

Namun, katanya, mereka tidak menerima sebarang respon daripada Turnpike mengenai cadangan berkenaan.

 

"Turnpike pula sebaliknya melantik kontraktor lain untuk mengambil alih kerja-kerja kami," tambah beliau. - DagangNews.com