Projek nasional jadi pemangkin aktiviti M&A sektor perladangan | DagangNews Skip to main content

Projek nasional jadi pemangkin aktiviti M&A sektor perladangan


Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Julai – Menjelang pilihan raya umum, kerajaan dijangka menggiatkan semula beberapa projek nasional atau negeri untuk melonjakkan ekonomi, sekali gus menjadi pemangkin kepada lebih banyak aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam sektor perladangan.

Menurut nota penyelidikan Maybank IB, aktiviti M&A dijangka kembali rancak pada separuh kedua tahun ini (2H20) setelah memperlahan sejak tahun lalu.

Berdasarkan data yang dikumpul daripada Bursa Malaysia, transaksi tanah perladangan, estet dan berkaitan perladangan di Malaysia berjumlah RM647 juta pada 1H20, yang melangkaui jumlah keseluruhan pada 2019 sebanyak RM528 juta.

Faktor pilihan raya, dijangka meningkatkan lagi urus niaga M&A sehingga hujung tahun ini, dan terdapat projek yang memerlukan pengambilalihan wajib tanah, khususnya tanah pertanian yang dimiliki oleh syarikat-syarikat perladangan.

Antara projek tersebut ialah ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura (HSR), Lapangan Terbang kedua Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

maybanMalah, minat terhadap estet kelapa sawit ini meluas sehingga ke Indonesia di mana syarikat KLK bercadang untuk mengambil alih 60% ekuiti di dalam PT Pinang Witmas Sejati (PTPWS), Indonesia daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak pada harga RM342 juta pada April lalu. PTPWS memiliki 14,980 hektar tanah di selatan Sumatera.

Sejak 2012, jumlah keseluruhan transaksi berkaitan tanah perladangan di Malaysia ialah RM14.3 bilion termasuk dua IPO iaitu FGV dan Bplant yang menjana dana terkumpul RM10.8 bilion dari segi tunai pada 2012 hingga 2014. Transaksi berkenaan berpurata RM1.7 bilion sejak 2012.

Daripada satu aspek, tekanan kenaikan kos dan kekurangan tenaga kerja dijangka mempercepatkan konsolidasi industri kerana pekebun kecil yang lemah dari segi skala ekonomi, akan terpaksa memikirkan semula, memperkenalkan penggunaan mesin atau keluar sama sekali dari perniagaan dengan beralih kepada tanaman lain atau perniagaan.

``Aktiviti M&A akan kekal cergas pada 2H20 dan 2021 keranan beberapa syarikat sudah mengumumkan hasrat mereka untuk melakukan penyusunan semula, merangka strategi semula dan pelupusan.

``TH Plantation, misalnya, aset bernilai RM1 bilion telah dikenal pasti oleh Lembaga Pengarah untuk dilupuskan. Syarikat TDM pula menjual dua subsidiari di Indonesia yang memiliki kawasan tanaman kelapa sawit seluas 10,727 hektar setelah menerima tawaran RM210 juta pada Februari lalu,’’ kata Maybank IB. – DagangNews.com