Projek perumahan kos rendah, sederhana terbesar akan dimajukan di Ipoh oleh Mysuccess Land | DagangNews Skip to main content

Projek perumahan kos rendah, sederhana terbesar akan dimajukan di Ipoh oleh Mysuccess Land

Projek membina 1,465 rumah di tanah seluas 82.53 ekar ini akan memberi manfaat pada kelompok B40 di Ipoh untuk memiliki kediaman.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 5 Sept - Sebanyak 1,465 unit hartanah kos rendah dan kos sederhana akan dibina di bandar raya Ipoh yang akan memberi manfaat kepada penghuninya terutama dalam kelompok B40.

 

Projek kediaman di tanah seluas 82.53 ekar itu akan dimajukan oleh sebuah syarikat hartanah tempatan, Mysuccess Land Sdn. Bhd. (Mysuccess Land) secara berfasa.

 

Ini merupakan sebuah projek perumahan kos rendah dan kos sederhana yang terbesar di Ipoh sejak 15 tahun yang lalu.

 

Pengarah Urusan Mysuccess Land, Andrew Chan Wai Hoe berkata, projek kediaman yang terletak di Bandar Lahat ini  strategik kerana kedudukannya kira-kira lima kilometer dari pusat bandar.

 

Menurutnya, harga rumah kos rendah yang dibangunkan nanti adalah kira-kira RM90,000 manakala 180,000 bagi kediaman kos sederhana.

 

"Syarat untuk pembelian kediaman ini adalah mengikut sepertimana ditetapkan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Perak (LPHP). 

 

 

rumah
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (dua dari kiri) dan Andrew bertukar dokumen selepas memeterai MoUdi Ipoh hari ini.

 

"Bagi rumah kos rendah, pendapatan isi rumah tidak lebih RM3,000 manakala sederhana pula RM7,000. Ini khusus bagi pembeli rumah pertama," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas memeterai  Memorandum Persefahaman (MOU) projek perumahan tersebut dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

 

Projek pembinaan ini dijangka bermula pada Disember dan siap awal 2025.

 

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, projek itu akan meningkatkan lagi mutu kehidupan warga Ipoh terutamanya kelompok B40 untuk memiliki kediaman sendiri.

 

rumah
Replika cek berjumlah RM60,000 disampaikan oleh Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Ir. Sharudin Mohd. Simin (dua dari kanan) kepada Rumaizi.

 

Katanya, pihak pemaju juga telah memberi komitmen dan keutamaan kepada petugas MBI yang layak untuk membeli rumah  sebagai penghargaan kepada mereka.

 

"Ramai dalam kalangan warga MBI terutama petugas muda belum memiliki kediaman sendiri, jadi kita bincang dengan pihak syarikat untuk diberi keutamaan.

 

"Menerusi kerjasama ini, ada kuota untuk warga MBI iaitu 30%  dengan diskaun keseluruhan sebanyak RM1.6 juta," ujarnya.

 

Sementara itu, pada majlis sama juga turut diadakan penyampaian cek program tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Replika cek berjumlah RM60,000 disampaikan oleh Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Ir. Sharudin Mohd. Simin kepada Rumaizi.

 

Program Baiti Jannati CSR Ipoh Smart City ini merupakan kerjasama TNB - MBI bagi kerja-kerja baik pulih rumah untuk asnaf. 

 

CSR ini merupakan hasil daripada salah satu projek di bawah Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh 2030 di bawah projek Smart Meter. - DagangNews.com