Projek RM30.75 juta ganti 200 tiang lampu tiada kaitan dengan DBKL, kata Ennova | DagangNews Skip to main content

Projek RM30.75 juta ganti 200 tiang lampu tiada kaitan dengan DBKL, kata Ennova

Projek itu dibiayai secara persendirian oleh Ennova Sdn Bhd

KUALA LUMPUR 13 Jun - Ennova Sdn Bhd menjelaskan bahawa kontrak RM30.75 juta untuk menggantikan 200 tiang lampu di Lembah Klang, "tiada kaitan" dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

 

Ketua Pegawai Operasi Ennova Megat Rozaimi Jaafar berkata, projek itu dibiayai secara persendirian oleh Ennova yang telah mengupah Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) untuk menjalankan kerja itu dengan kos sendiri.

 

“SCIB dilantik melakukan kerja untuk Ennova. Menurut pemfailan Bursa Malaysia, Ennova adalah pelanggan, bukan DBKL.

 

"Ini tidak ada kena mengena dengan tender dan prosedur pemberian projek DBKL," katanya kepada FMT hari ini.

 

Rozaimi berkata Ennova, sebuah syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi, merupakan satu daripada 29 syarikat yang mempunyai lesen pembekal kemudahan rangkaian yang dilantik oleh DBKL untuk melaksanakan kerja-kerja penggantian itu.

 

Beliau berkata syarikat itu telah melantik SCIB sebagai rakan kongsi pembinaan untuk mendirikan tiang lampu, yang merupakan unit dwi-fungsi baharu yang disepadukan dengan pemancar telekomunikasi untuk menambah baik liputan dan perkhidmatan 5G di seluruh Kuala Lumpur.

 

Projek itu bertujuan untuk mempercepatkan pelaksanaan teknologi 5G dan akhirnya untuk faedah orang ramai, katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN : DBKL nafi lantik SCIB ganti tiang lampu

 

SCIB raih kontrak EPCC lampu tiang pintar RM30.75 juta

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang membangkitkan kebimbangan mengenai kontrak itu kerana kosnya kelihatan terlalu tinggi untuk menggantikan 200 tiang lampu, dan mempersoalkan siapa yang membiayai projek RM30.75 juta itu.

 

DBKL sebelum ini menafikan melantik SCIB selepas laporan mendakwa ia memberikan kontrak itu kepada syarikat berpangkalan di Sarawak itu melalui Ennova. - DagangNews.com