KUALA LUMPUR 16 Jun – Pusat Pilihan Pengguna (CCC) menggesa satu garis masa yang jelas mengenai proses Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan untuk mengkaji Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi memastikan proses tersebut dapat dilakukan dengan teliti dan holistik.
Wakil Pusat Pilihan Pengguna Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, satu garis masa yang jelas perlu diumumkan oleh pihak Kerajaan bagi memberi ruang kepada pihak Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan melakukan kajian yang terperinci dan holistik dalam menyediakan laporan balas terhadap Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
"Hal ini penting bagi memastikan pihak jawatankuasa diberikan masa yang secukupnya dan meneliti secara komprehensif dalam menyediakan laporan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tarmizi turut menggesa kerajaan mengutamakan bagi mengawal selia industri vape yang telah lama beroperasi di kawasan kelabu.
“Mengawal selia industri vape mesti menjadi keutamaan kerajaan. Buat sementara, dalam tempoh Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan mengkaji Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023, kerajaan boleh mengkaji untuk memperluaskan undang-undang sedia ada bagi memasukkan vape. Ini lebih penting sekarang kerana nikotin telah dikecualikan daripada Akta Racun."
"Dalam jangka panjang, usaha mesti dibuat untuk membezakan vape daripada tembakau. Ini adalah dua produk yang sangat berbeza, dan berfungsi dengan cara yang berbeza sama sekali. Walaupun tembakau menyebabkan angka kematian tahunan sebanyak lapan juta orang setiap tahun, vape telah terbukti secara saintifik menjadi 95% kurang berbahaya daripada tembakau dan bantuan berhenti yang paling berkesan,” katanya.
Selain itu, Tarmizi juga berkata pihak jawatankuasa perlu mengadakan sesi libat urus tambahan dengan pihak-pihak berkepentingan atau pemegang taruh yang terkesan terutamanya pengguna. Juga melibatkan pakar-pakar daripada pelbagai bidang.
“Berdasarkan kenyataan impak peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan New Zealand, semasa proses Proposal for a Smokefree Aotearoa 2025 Action Plan dilakukan seramai 5,200 orang dan organisasi telah dilibatkan menerusi kaedah bersemuka atau bertulis. Namun, pihak Kementerian Kesihatan hanya melakukan kira-kira 70 sesi libat urus tanpa mendedahkan berapakah jumlah orang dan organisasi yang terlibat”, katanya.
“Libat urus ini juga perlu melibatkan pakar-pakar daripada pelbagai bidang yang tidak hanya terhad kepada sesebuah pandangan tetapi perlu merangkumi kepelbagaian pendapat kerana masalah rokok merupakan masalah yang kompleks dan memerlukan penyelesaian yang komprehensif. Antaranya Tun Zaki iaitu bekas Ketua Hakim Negara pernah menyentuh isu kebebasan individu dalam pelaksanaan generasi penamat.”
Mengulas lanjut peranan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Tarmizi mengatakan pihak Kementerian Kesihatan mesti memastikan jawatankuasa tersebut perlu bebas daripada pengaruh pihak Kementerian Kesihatan dan mempunyai autonomi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Pihak Kementerian perlu memastikan jawatankuasa pilihan khas mempunyai autonomi dalam melaksanakan kajian mereka tanpa sebarang campur tangan daripada pihak Kementerian. Hal ini penting bagi memastikan ahli-ahli jawatankuasa tersebut mampu melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa sebarang konflik kepentingan daripada pihak Kementerian Kesihatan seperti mana yang berlaku sebelum ini.”
Selain itu, Tarmizi menggesa pihak kerajaan agar mewujudkan undang-undang yang berbeza antara produk tembakau dengan vape atau rokok elektronik bagi mengelakkan salah faham orang ramai kerana kesan antara kedua-dua produk ini sangat berbeza.
“Usaha mengurangkan bilangan perokok harus disokong tetapi undang-undang tersebut perlu membezakan antara produk tembakau dan vape atau rokok elektronik kerana banyak kajian sainstifik membuktikan menghisap vape adalah 95 peratus lebih selamat daripada merokok.,” katanya mengakhiri.
CCC mewakili pengguna di lebih 100 negara di seluruh dunia. Kami memantau dengan teliti aliran kawal selia di Ottawa, Washington, Brussels, Geneva dan kawasan panas peraturan lain serta memaklumkan dan mengaktifkan pengguna untuk memperjuangkan #ConsumerChoice. Ketahui lebih lanjut di consumerchoicecenter.org. - DagangNews.com