Proses pemerolehan MAHB terima pensijilan antirasuah ISO 37001:2016 | DagangNews Skip to main content

Proses pemerolehan MAHB terima pensijilan antirasuah ISO 37001:2016

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Proses pemerolehan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah menerima pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) sekali gus menjadikannya antara 50 organisasi pertama yang diiktiraf dengan pensijilan berkenaan.

 

MAHB menegaskan bahawa proses pemerolehan kepada semua tendernya dijalankan dalam pematuhan yang ketat mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan ABMS berfungsi sebagai perlindungan tambahan untuk menyediakan lapisan kawalan lain dalam proses syarikat.

 

“Kawalan diletakkan di kedua-dua peringkat manusia dan proses serta akan berfungsi sebagai intervensi untuk menutup sebarang kemungkinan jurang yang ada. MAHB juga memberi jaminan bahawa semua proses itu tertakluk dan mengikut tadbir urus korporat kami. 

 

“Pendekatan tender standard MAHB dijalankan menerusi pertandingan terbuka di mana semua maklumat tender diagihkan secara telus dan adil kepada pembida yang terlibat daripada permulaan proses tender hingga ke penutupnya.

 

“Ini juga digunapakai kepada mana-mana maklumat tambahan yang diperoleh semasa tempoh penghantaran tender. Kesemua kriteria penilaian itu juga didedahkan sebagai sebahagian daripada pakej tender yang diberikan kepada pembida,” jelas kumpulan dalam satu kenyataan.

 

Penilaian itu dijalankan menerusi tiga peringkat di mana setiap daripadanya dilaksanakan secara bebas oleh pasukan kepakaran berbeza. 

 

Proses ini bagi memastikan hanya tender yang memenuhi ketiga-tiga peringkat itu akan dinilai di peringkat akhir, iaitu tawaran Komersial dan seterusnya diberikan kepada cadangan yang terbaik.

 

“Penting juga untuk diperhatikan bahawa kriteria penilaian untuk setiap peringkat adalah spesifik, dapat diukur dan dianggap perlu untuk menjayakan projek tersebut. Untuk ketelusan yang lengkap, menjadi amalan kami untuk mendedahkan kriteria ini kepada pembida pada permulaan tender,” tambah MAHB.

 

Pada dasarnya, MAHB berkata, pemberian tender terutamanya yang bernilai tinggi atau berstrategik untuk kepentingan awam diputuskan oleh Jawatankuasa Pemerolehan Lembaga dan/atau Lembaga utama di bawah kelulusan tadbir urus MAHB semasa. 

 

“Kami berharap ini akan menjelaskan kepada pasaran berhubung proses pemerolehan yang mempunyai pensijilan AMBS dan akan menghentikan spekulasi yang tidak penting dan tidak tepat berhubung tender dikeluarkan oleh MAHB, di mana mungkin mengganggu proses tersebut,” jelas kumpulan lanjut. - DagangNews.com