Prospek ekonomi cerah, rangsang KLCI | DagangNews Skip to main content

Prospek ekonomi cerah, rangsang KLCI

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mac - Prospek ekonomi yang dilihat berada dalam landasan pemulihan menyaksikan pasaran tempatan terus mengukuh ketika mengakhiri dagangan hari ini. 

 

Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi pada 1,639.83 mata setelah menokok 15.05 mata atau 0.93% dengan 11.01 bilion saham bertukar tangan bernilai RM7.2 bilion.

 

Keseluruhan pasaran juga positif apabila kaunter untung mengatasi rugi pada 850 berbanding 358 manakala 452 kaunter tidak berubah. 

 

Menurut Reuters, Malaysia dan Indonesia mendahului pasaran baharu muncul di rantau Asia hari ini apabila penurunan hasil bon dan prospek cerah dalam pemulihan ekonomi global merangsang peningkatan dalam kebanyakan ekuiti. 

 

Pasaran saham meningkat lebih tinggi, mengambil petunjuk positif daripada pemulihan semalaman di Wall Street dan bangkit semula dalam ekuiti China.

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, langkah kerajaan membenarkan pelancongan domestik mulai 10 Mac (hari ini) menerusi agensi pelancongan yang berdaftar dengan kerajaan memberi sinar positif kepada trajektori pertumbuhan ekonomi. 

 

Sementara itu, dalam pasaran tempatan, indeks media dan telekomunikasi merekodkan peningkatan paling besar dalam kalangan sektor setelah ditutup 2% lebih tinggi.

 

"Saham-saham perbankan juga menunjukkan kenaikan seperti Hong Leong Bank, Hong Leong Financial Group, Maybank dan Public Bank. 

 

"Kenaikan ini dilihat sejajar dengan manfaat terhadap ekonomi apabila kerajaan melonggarkan sekatan perjalanan domestik," katanya kepada DagangNews.com.

 

Petang ini, saham Hong Leong Bank naik 1.05% kepada RM19.30 manakala Hong Leong Financial menokok 2.71% kepada RM18.20 sesaham. 

 

Saham Maybank pula meningkat 0.47% kepada RM8.54 manakala Public Bank naik 0.68% kepada RM4.45. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit susut lebih daripada 0.5% hingga mencecah paras RM4.12 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Beliau berkata, ringgit lemah berbanding dolar AS selepas peniaga membuat pertimbangan terhadap hasil bon AS yang tinggi dan jangkaan inflasi yang lebih tinggi berikutan ramalan pemulihan ekonomi.

 

"Pada masa sama, penyusutan ringgit juga sejajar dengan penurunan harga minyak global," katanya. - DagangNews.com