Prospek ekonomi Malaysia 2024 boleh terjejas akibat faktor luaran, kesan inflasi dalam negara - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Prospek ekonomi Malaysia 2024 boleh terjejas akibat faktor luaran, kesan inflasi dalam negara - MIDF Research

Inflasi makanan di luar rumah dijangka terus naik susulan peningkatan kos operasi dan caj utiliti. - Gambar NAIM AZIZ DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Mei - MIDF Research berhati-hati dengan kemungkinan kesan inflasi akibat perubahan dasar kerajaan yang boleh menjejaskan sentimen pengguna dan kuasa beli mereka.

 

Pandangan ini dibuat firma penyelidikan itu di sebalik kekal yakin ekonomi Malaysia akan berkembang 4.7% tahun ini, disokong pemulihan perdagangan luar dan peningkatan perbelanjaan hasil pasaran buruh yang positif, peningkatan pendapatan dan pemulihan sektor pelancongan.

 

Menurut MIDF Research, sebagai sebahagian daripada rangkaian perdagangan antarabangsa dan pengeluaran serantau, Malaysia akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap komoditi dan pemulihan dalam pasaran Elektronik dan Elektrik (E&E) global. 

 

"Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan Malaysia mungkin terjejas oleh beberapa risiko negatif seperti pertumbuhan perlahan negara rakan perdagangan utama (contohnya China dan Amerika Syarikat) serta peningkatan dalam ketegangan geopolitik yang boleh mengganggu aktiviti perdagangan dan pengeluaran antarabangsa. 

 

"Di dalam negara, kami berhati-hati terhadap kesan inflasi yang mungkin timbul daripada perubahan dasar yang dirancang oleh kerajaan, yang boleh memberi kesan kepada sentimen pengguna dan daya beli mereka," katanya dalam nota penyelidikan Ekonomi Malaysia April 2024 hari ini.

 

Sementara itu, kata MIDF Research, kadar inflasi teras merosot ke paras terendah lebih daripada dua tahun pada +1.7%yoy, secara tidak langsung mengurangkan kemungkinan potensi kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

 

Katanya, melihat kepada suku kedua 2024 (2QCY24), seharusnya semua pihak menjangkakan kenaikan secara beransur-ansur dalam harga keseluruhan berikutan kenaikan caj utiliti, pelaksanaan kadar cukai perkhidmatan yang lebih tinggi kepada 8.0% pada item terpilih dan 10% untuk cukai barang bernilai rendah (LVGT).

 

Justeru, melihat ke hadapan, MIDF Research berkata, inflasi bukan makanan berkemungkinan kekal pada aliran menaik berikutan pelaksanaan kenaikan cukai perkhidmatan 2% pada item terpilih.

 

Katanya, walaupun inflasi makanan terus menyederhana, namun harga makanan di luar rumah dijangka kekal pada paras tertinggi 3 bulan pada +3.5% yoy.

 

"Segmen makanan di luar rumah dijangka menyaksikan kenaikan berterusan di tengah-tengah kos logistik dan caj operasi yang bertambah," jelasnya.

 

Pada separuh kemudian, MIDF Research berpendapat kemungkinan pelancaran subsidi bersasar bahan api mungkin menyaksikan harga bahan api runcit yang lebih tinggi bagi kedua-dua RON95 dan diesel.

 

Dalam pada itu, MIDF Research berkata, Ringgit Malaysia menyusut nilai pada April 24, turun sebanyak -1.0% MoM kepada RM4.773 menjelang akhir bulan, membalikkan keuntungan pada bulan sebelumnya. 

 

"Secara purata, ringgit turut menyusut sebanyak -1.0% MoM kepada RM4.766. Pergerakan intra-bulan menyaksikan ringgit menjunam daripada penutupan paling kukuh pada hari pertama bulan itu pada RM4.731 ke arah paras terendah dalam sebulan pada RM4.796 pada 16 April 2024, apabila keluaran data menandakan kekuatan berterusan dalam permintaan domestik AS," ujarnya.- DagangNews.com