JUMLAH jualan Bermaz Motor dijangka merosot sebanyak 10% pada FY22 berbanding tahun kewangan sebelumnya.
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Sept. - Perolehan sesaham (EPS) Bermaz Auto Berhad (Bermaz) disemak turun kepada 8% hingga 12% untuk tempoh tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 yang mengambil kira unjuran jualan lebih lemah bagi anak syarikatnya, Bermaz Motor Sdn Bhd.
Penganalisis di CGS-CIMB Research, Mohd Shanaz Noor Azam menjangkakan jumlah jualan Bermaz Motor berdepan kemerosotan sebanyak 10% pada FY22 berbanding tahun kewangan sebelumnya.
Namun, katanya, penyusutan itu mungkin dikurangkan oleh jumlah jualan yang lebih kukuh daripada pengedaran Peugeot dan Kia yang baru diambil alih.
“Kumpulan kekal optimis untuk mencapai 1,000 jualan untuk dua pengedaran baharu itu pada FY22, dipacu oleh pelancaran baharu seperti Peugeot 2008, Kia Sportage dan Kia Carnival.
“Sementara itu, kami difahamkan oleh pihak pengurusan bahawa Bermaz Motor ketika ini mempunyai tunggakan tempahan sebanyak 1,200 unit, di mana dijangka dihantar dalam tempoh 1.5 bulan akan datang.
“Kumpulan menjangkakan pemulihan permintaan yang menggalakkan, memandangkan pengedar Mazda telah menerima antara 30 dan 35 tempahan setiap hari sejak pembukaan semula bilik pameran pada pertengahan Ogos,” katanya dalam satu nota kajian.
Pada suku pertama FY22 (1QFY22), Bermaz menyaksikan hasil kumpulan merosot 28.5% kepada RM321 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, terutamanya disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih rendah bagi operasinya di Malaysia.
Kumpulan percaya kemerosotan itu berpunca daripada penguatkuasaan ‘lockdown’ di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), di mana semua bilik pameran tidak dibenarkan beroperasi selama dua bulan sejak Jun 2021.
CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM1.90 sesaham.
Sementara, penganalisis di MIDF Research, Hafriz Hezry pula meningkat TP Bermaz kepada RM2.35 daripada RM2.20 walaupun unjuran perolehan kumpulan bagi tahun kewangan semasa telah disemak turun.
Bagi beliau, Bermaz berada dalam kedudukan baik susulan daripada pelancaran dasar kenderaan elektrik (EV) memandangkan kumpulan dapat mengaut keuntungan menerusi model EV sedia ada menerusi Kia dan Peugeot. - DagangNews.com