Prospek persekitaran kredit global diunjur lebih negatif - Moody's | DagangNews Skip to main content

Prospek persekitaran kredit global diunjur lebih negatif - Moody's

KUALA LUMPUR 30 Jun - Prospek persekitaran kredit global tahun ini telah berubah menjadi lebih negatif dengan pertumbuhan global yang semakin perlahan, peningkatan kos pinjaman, lonjakan harga tenaga dan komoditi, gangguan rantaian bekalan dan ketidakpastian pasaran kewangan yang kian meningkat.

 

Moody's Investors Service (Moody’s) berkata, lonjakan kos tenaga dan makanan yang didorong oleh pencerobohan Ukraine melemahkan kuasa beli isi rumah, sekali gus meningkatkan kos input untuk syarikat dan melemahkan sentimen pelabur.

 

Pengarah Urusan Strategi Kredit, Elena H Duggar berkata, kemampanan hutang akan menjadi sangat mencabar untuk kebanyakan pasaran sederhana membangun kerana kos pinjaman terus meningkat.

 

"Bagaimanapun, mereka masih belum pulih sepenuhnya kesan daripada pandemik yang melanda sebelum ini," katanya, lapor Bernama.

 

Namun, asas kredit secara amnya kekal sihat untuk penerbit hutang yang dinilai lebih tinggi kerana metrik kredit pulih pada 2021 sementara kecairan atau mudah tunai kekal kukuh secara keseluruhan, katanya.

 

Bagaimanapun, bagi penerbit gred spekulatif dengan aliran tunai bebas yang rendah dan bahagian hutang kadar terapung yang tinggi, risiko kemampuan hutang, kecairan dan pembiayaan semula semakin meningkat.

 

Beliau menambah bahawa apabila bank pusat mula menaikkan kadar faedah sebagai tindak balas kepada inflasi yang tinggi, keadaan pasaran kewangan turut dilihat semakin ketat merentasi benua. - DagangNews.com