Prospek sektor pembuatan kurang diyakini, dijangka pulih menjelang 4Q21 - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Prospek sektor pembuatan kurang diyakini, dijangka pulih menjelang 4Q21 - Kenanga

sektor pembuatan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Prospek sektor pembuatan negara dalam masa terdekat dilihat kurang menyakinkan akibat situasi semasa wabak COVID-19 yang bertambah buruk.

 

Kenanga Research berkata, situasi berkenaan bagaimanapun dijangka pulih semula menjelang suku keempat 2021 (4Q21).

 

"Lonjakan kes COVID-19 selain kebimbangan terhadap varian Delta dan sekatan pergerakan yang berpanjangan dalam usaha mengekang penularan virus berkemungkinan akan menjejaskan permintaan dan rantaian bekalan dalam waktu terdekat.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan sektor pembuatan akan pulih menjelang suku keempat 2021 kerana kebanyakan sektor ekonomi akan dibuka semula secara beransur-ansur selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

"Ia juga akan disokong oleh sub-sektor pembuatan yang berorentasikan eksport seperti E&E dan produk sarung tangan getah kerana permintaan luar yang kekal tinggi," jelas Kenanga Research.

 

Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Malaysia pada Julai meningkat kepada 40.1 berbanding 39.9 pada bulan sebelumnya.

 

Peningkatan tersebut bagaimanapun masih dalam prestasi penguncupan di bawah tahap 50.

 

Prestasi pertumbuhan sektor pembuatan negara terhalang akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan penuh di seluruh negara sejak lonjakan kes COVID-19 melanda negara sekali gus mengganggu permintaan dan keyakinan pengguna.

 

Prestasi PMI di negara China menunjukkan sedikir penurunan pada Julai kepada 50.3 berbanding 51.3 pada Jun.

 

Prestasi berkenaan merosot kepada paras terendah sejak 15 bulan susulan kejatuhan permintaan buat pertama kalinya dalam tempoh 12 bulan, kerana kos bahan mentah yang lebih tinggi akhirnya menyekat jumlah jualan.

 

Bagi Amerika Syarikat (AS) pula, PMI pembuatan merekodkan peningkatan ke tahap tertinggi kepada 63.1 pada Julai berbanding 62.1 pada bulan sebelumnya.

 

Prestasi tersebut didorong oleh permintaan yang kukuh di peringkat domestik.

 

Mengulas lanjut, Kenanga Research berkata, pihaknya mengekalkan ramalan pertumbuhan nilai tambah sektor pembuatan sebanyak 7.9%.

 

Namun, pihaknya mengurangkan unjuran perumbuhan KDNK 2021 kepada 4.0% hingga 5.0%, berbanding unjuran awal iaitu 5.0% hingga 6.0%.

 

Pengurangan itu dibuat dengan menilai kepada situasi dan perkembangan COVID-19 semasa serta sekatan pergerakan yang berpanjangan yang akan membebankan tahap permintaan domestik. - DagangNews.com