KUALA LUMPUR 16 Ogos - Malacca Securities menjangkakan Protasco Berhad akan memanfaatkan kedudukannya sebagai pakar penyelenggaraan jalan dengan kontrak masa depan ke arah pembinaan dan naik taraf jalan negeri dan persekutuan di seluruh Malaysia.
Firma itu berkata, kepakaran mereka dalam pembinaan projek perumahan kos rendah juga akan menjadi kelebihan kerana kumpulan itu bergantung pada pengumuman bajet sebelum ini, yang memberi tumpuan kepada menangani isu kemampuan rumah.
Pihaknya juga menjangkakan segmen penyelenggaraan akan menunjangi prestasi keseluruhan, disokong oleh pelbagai perjanjian konsesi jalan persekutuan dan negeri jangka panjang akan memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2029.
"Namun begitu, segmen pembinaan juga semakin pesat, yang memberi petanda baik bagi keseluruhan pendapatan kumpulan kerana segmen yang disebutkan di atas mengalami masalah untuk dua tahun kewangan yang lalu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, anak syarikat Protasco, HCM Engineering Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan K.I. Engineering Sdn. Bhd. bagi menaik taraf jalan persekutuan di Kulim, Kedah dengan nilai RM299.2 juta.
Menerusi perjanjian itu, HCM akan berkongsi 70% keuntungan projek dan bertindak sebagai pelaksana untuk keseluruhan pembinaan serta pembiayaan projek sehingga siap pada 27 Januari 2026.
Projek itu menandakan kontrak pembinaan utama kedua yang diperoleh Protasco setakat ini, meningkatkan penambahan tempahan kepada RM671.9 juta, yang melepasi sasaran awal kami sebanyak RM500 juta.
Firma itu menjangkakan kontrak itu akan mendaftarkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) satu digit yang tinggi.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 21 sen. - DagangNews.com