Proton jual 15,017 unit pelbagai model bulan April | DagangNews Skip to main content

Proton jual 15,017 unit pelbagai model bulan April


Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com
 

 

SHAH ALAM 3 Mei – Proton meneruskan momentum jualan pada tahun 2021 dengan mencatat pertumbuhan bagi bulan ketiga berturut-turut pada bulan April iaitu sebanyak 15,017 unit (domestik +eksport),  peningkatan sebanyak 1.8% berbanding bulan sebelumnya dan setara dengan anggaran 26.7% penguasan pasaran.

 

Secara keseluruhan, menurut Proton, syarikat itu terus mengukuhkan kedudukannya di tempat kedua dalam jadual kedudukan penjualan dengan pegangan pasaran untuk tahun ini dianggarkan pada 24.4% sementara jumlah keseluruhan kini berada pada 47,843 unit susulan empat bulan pertama tahun ini.

 

Proton Saga kembali ke puncak carta jualan Proton Saga kembali ke puncak carta jualan nasional dengan 5,472 unit dijual pada bulan April. Walaupun jumlahnya sedikit berkurangan berbanding dengan bulan sebelumnya, permintaan untuk produk terlaris Proton tetap tinggi dan melebihi jumlah unit yang dibekalkan.

 

x50

 

Sementara itu, model SUV Proton terus menetapkan jumlah penjualan yang kukuh. Proton X50 sekali lagi menetapkan rekod baru bagi jumlah penghantaran apabila 3,583 unit dihantar pada bulan April manakala Proton X70 memperluaskan penguasaannya dalam kategori SUV segmen-C dengan 2,101 unit dihantar.

 

Gabungan 5,684 unit adalah bulan penjualan SUV kedua terbaik bagi syarikat dan hanya sedikit di belakang rekod yang dicapai dalam bulan Mac. Tiga model Proton yang lain juga menunjukkan prestasi yang baik dan ketiga-tiganya berjaya mengalami bulan terbaik pada tahun 2021.

proton

Walaupun mendapat persaingan yang kuat di pasaran sedan segmen-B, Proton Persona berjaya mencapai jualan sebanyak 2,266 unit, memperolehi tempat kedua dalam segmennya.

 

Sementara itu, Proton Exora terus mendahului kelas MPV segmen-C manakala jualan Proton Iriz mendapat peningkatan dari permintaan yang tinggi untuk model R3 Edisi Terhad dan ini membolehkannya mencapai bulan penjualan terbaik sejak 2019.

 

proton

 

“April adalah bulan yang bagus untuk industri automotif dan selain dari Proton, beberapa jenama lain juga mempunyai bulan terbaik tahun ini. TIV dianggarkan melebihi 56,000 unit kerana semua jenama sedang berusaha untuk memenuhi pesanan penjualan sebelum berakhirnya insentif cukai penjualan PENJANA pada akhir bulan Jun.

 

“Bagi Proton, kami meneruskan usaha untuk memenuhi permintaan produk kami yang tinggi di samping mengekalkan tahap kualiti produk. Pada masa yang sama, kami fokus untuk meningkatkan khidmat pelanggan dan menangani masalah berkaitan dengan ketersediaan alat ganti, satu aspek yang sangat penting ketika jumlah penjualan kami sedang meningkat.

 

"Kami menjangkakan situasi akan semakin pulih dan kami tetap berusaha keras untuk memendekkan jangka masa itu,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eskekutif, Proton Edar.

 

proton
Roslan Abdullah

 

Selain dari peningkatan penjualan, bulan April juga telah menyaksikan Proton mengadakan upacara pecah tanah untuk kilang tekan tera baru di kilang Tanjung Malim.

 

Kemudahan RM200 juta itu dijangka beroperasi pada suku ketiga 2022 dan akan membolehkan syarikat mengeluarkan panel badan yang jauh lebih besar.

 

“Sebagai cabang penjualan dan pengedaran Proton, Proton Edar memandang pelaburan di kilang tekan tera badan kereta baru sebagai satu perkembangan positif.

 

"Manfaat yang akan diperoleh dari peningkatan jumlah pengeluaran, kos yang lebih rendah dan peningkatan kualiti akan memungkinkan kami untuk meningkatkan penjualan samada di dalam atau di luar negara. Ini akan akan mendorong syarikat untuk mecapai matlamat jangka masa panjang,’ tambah Roslan. - DagangNews.com