Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Proton Holdings Berhad menyaksikan jualan kenderaannya pada bulan Jun hingga Ogos 2021 mencecah 5,354 unit yang merangkumi campuran pendaftaran dalam talian dan eksport.
Berdasarkan prestasi tersebut, Proton menjangkakan aktiviti pengeluaran, jualan dan eksport yang kembali beroperasi akan meningkatkan hasil jualannya bermula bulan September.
Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, jumlah jualan tersebut mencerminkan prestasi tinggi Proton dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
“Tahun 2021 amat mencabar bagi industri automotif kerana perintah kawalan pergerakan, kekurangan bekalan cip dan beberapa isu lain yang merencatkan perkembangan jualan, namun kita yakin jualan industri akan meningkat secara keseluruhan dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Setelah hampir tiga bulan mengharungi keadaan pasaran yang amat sukar disebabkan pencegahan penularan COVID-19, jenama kereta nasional itu menyasarkan untuk mengakhiri tahun 2021 dengan impak yang nyata.
Sehingga penghujung Ogos, jumlah jualan adalah sebanyak 63,637 unit, menyaksikan peningkatan 1.6% berbanding tempoh yang sama tahun 2020.
Dengan kedua-dua kilang kini beroperasi, Proton juga boleh memulakan kembali aktiviti eksport ke pasaran luar negara.
Difahamkan, Pakistan akan menerima tiga penghantaran Proton X70 sebanyak 108 unit pada September termasuk pek CKD untuk Proton Saga yang dijangkakan mula dipasang siap di sana pada akhir bulan Oktober.
Tambah Proton, salah satu kunci kepada kebolehupayaan syarikat untuk membuka semula kilang adalah atas kejayaan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Data terkini menunjukkan lebih 93% daripada warga kerja PROTON telah divaksinasi sepenuhnya manakala lebih 75% pekerja dari pembekal dan wakil jualan juga telah mendapat vaksin penuh.
Oleh itu, keseluruhan ekosistem Proton hampir dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti 100% berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) semasa untuk pembukaan kilang dan premis perniagaan.
“Selain daripada pelanggan di pasaran Malaysia, pasaran eksport Proton juga mendapat manfaat daripada pembukaan semula aktiviti produksi. Adalah terlalu awal untuk kita ketahui berapa cepat kita dapat penuhi tuntutan langganan yang belum dijelaskan, namun pihak kami berusaha merapatkan jurang saban hari.
“Sebagai tambahan, kejayaan program vaksinasi kami adalah penting demi prestasi bagi baki tahun ini. Dengan mempunyai tenaga kerja yang divaksin sepenuhnya, kita dapat memberi jaminan kepada pasaran bahawa Proton telah mengambil setiap langkah yang diperlukan bagi memastikan pelanggan yang telah mendapatkan vaksinasi penuh turut dilindungi ketika melawat pusat pameran dan servis kami,” tambah Roslan. - DagangNews.com