SHAH ALAM 25 Ogos – Proton memohon kerjasama pemilik kereta Proton Perdana mengunjungi pusat servis Proton secepat mungkin untuk mengganti inflator beg udara. Hanya kereta yang dibina antara tahun 2012 sehingga akhir Ogos 2018 yang terlibat.
Servis baik pulih ini merupakan sebahagian daripada inisiatif global untuk kereta yang dilengkapi dengan beg udara Takata. Semua tindakan yang diambil adalah selaras dengan Laporan Maklumat Kerosakan (DIR) yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan dan Traffik Lebuh raya Kebangsaan Amerika (NHTSA) yang memerlukan penggantian inflator beg udara bukan kering.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, Proton telah memulakan proses penggantian sejak bulan Januari 2019.
“Dari usaha sama kakitangan dan pengedar Proton, kami telah berjaya menghubungi pelanggan dan melakukan penggantian inflator beg udara. Sebanyak 6,342 kereta yang terjejas dan setakat 18 Ogos 2020, pusat servis kami telah melakukan penggantian untuk 5,625 unit atau 87.5% dari jumlah keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Proton ingin menegaskan bahawa proses ini tidak melibatkan mana-mana model Proton yang lain kerana beg udara yang digunakan dibekalkan oleh pembekal yang berlainan.
Keselamatan para pelanggan merupakan keutamaan bagi syarikat, oleh demikian, kawalan ketat telah diambil untuk memastikan tiada kemungkinan berlaku insiden yang tidak diingini. Proton juga kesal jikalau sebarang kesulitan berlaku akibat perkara ini.
"Keselamatan pelanggan amat penting untuk PROTON. Walau bagaimana pun, kami tidak dapat menghubungi semua pemilik Proton Perdana sebab maklumat pemilik tidak lengkap.
"Oleh itu, kami ingin menyeru semua pemilik yang belum mengganti inflator beg udara mereka, hubungi pusat servis kami untuk membuat temu janji segera. Pertukaran inflator beg udara ini hanya mengambil masa kira-kira satu jam serta tidak akan dikenakan apa-apa bayaran. Kereta yang dikeluarkan selepas 31 Ogos 2018 pula tidak perlu menukar beg udara," tambahan beliau. - DagangNews.com