PublicInvest kekal sasaran inflasi utama Malaysia antara 3% hingga 3.5% bagi 2023 | DagangNews Skip to main content

PublicInvest kekal sasaran inflasi utama Malaysia antara 3% hingga 3.5% bagi 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept -  Public Investment Bank (PublicInvest) mengekalkan julat sasaran inflasi utama Malaysia bagi 2023 antara 3% hingga 3.5%, berdasarkan potensi semakan pada had harga minyak runcit dan pelancaran langkah kawal selia harga.

 

Bagaimanapun, pelarasan harga sedemikian tidak mungkin dilaksanakan tahun ini kerana kerajaan dijangka melancarkan program subsidi bersasar pada 2024, memberikan penampan terhadap turun naik harga untuk baki tahun 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata, inflasi teras, walaupun menyederhana namun meningkat berbanding sebelum ini, mencerminkan permintaan yang mampan dan tekanan kos.

 

Katanya, inflasi teras meningkat pada kadar yang lebih perlahan kepada 2.5% tahun ke tahun pada Ogos, berbanding 2.8% pada bulan Julai, tetapi terus melepasi kadar keseluruhan negara sebanyak 2%.

 

PublicInvest Research berkata, pelaksanaan berterusan kawalan harga dan subsidi bahan api akan bertindak sebagai pengurangan separa, mengekang tahap tekanan inflasi.

 

“Adalah penting untuk mengakui kehadiran kecenderungan risiko yang wujud ke arah peningkatan dalam prospek inflasi. 

 

"Sensitiviti ini berakar umbi daripada inflasi teras yang berterusan, potensi perubahan dalam dasar domestik berkaitan subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan dalam pasaran kewangan dan harga komoditi global,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Selain itu, keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini yang mengukuhkan kedudukan kerajaan, pelancaran inisiatif utama kerajaan, dan pembentangan Bajet 2024 yang akan datang bulan depan dijangka menghasilkan trajektori dasar yang lebih jelas.

 

"Ini, seterusnya, berkemungkinan mencetuskan pelarasan yang memberi kesan kepada kedua-dua dinamik inflasi dan prestasi ekonomi jangka pendek hingga sederhana negara," kata firma penyelidikan itu.

 

Berdasarkan simulasi dalaman firma penyelidikan itu, penghapusan subsidi petrol dalam latar belakang kenaikan harga minyak mentah global akan mendorong harga sebenar RON95 kepada anggaran RM3.51 seliter, jauh lebih tinggi daripada harga runcit semasa RM2.05 setiap liter.

 

Pemberhentian subsidi bahan api bagi kumpulan pendapatan T20 akan memberikan kesan inflasi tahunan tambahan antara 0.4 hingga 0.8 mata peratusan.- DagangNews.com