KUALA LUMPUR 30 Mei - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) meneruskan agenda menyokong dan mempromosikan matlamat pembangunan mampan (SDG) sebagai bahagian penting dalam operasi dengan memperkenalkan program baharu 'Empowering Orang Asli Communities (ECO), Through Skills and Training’.
Program ECO adalah kerjasama strategik antara PUNB dan Rakan Usahawan dalam bidang automotif untuk melatih belia Orang Asli berusia 18 hingga 30 tahun untuk menjalani latihan sambil bekerja di bengkel-bengkel kenderaan milik Rakan Usahawan PUNB terpilih.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, PUNB memilih untuk memperkenalkan program ECO bagi memperkasakan kehidupan Orang Asli dan merapatkan jurang ketidaksamaan dalam ekonomi.
Katanya, alam tempoh beberapa tahun ini, PUNB telah melakukan penambahbaikan berterusan terhadap langkah-langkah yang menyokong dan mempromosikan SDG sebagai bahagian penting dalam operasi.
"Ia sejajar dengan agenda utama SDG PUNB dalam mencapai keseimbangan keperluan pembangunan operasi dan menyumbang impak positif kepada masyarakat.
"Justeru, PUNB komited untuk membantu belia Orang Asli dengan menggalakkan keterangkuman sosial melalui penglibatan meluas di dalam bidang kemahiran dan aktiviti yang boleh meningkatkan taraf ekonomi mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, seramai 10 belia Orang Asli yang berasal dari perkampungan Orang Asli di Jerantut, Pahang terpilih dalam projek rintis tersebut.
Mereka yang terpilih akan menjalani latihan selama enam bulan bermula Jun depan di bengkel-bengkel Rakan Usahawan PUNB yang terletak di Temerloh, Pahang; Bangi, Banting dan Cyberjaya, Selangor.
Peserta program akan diberikan elaun bulanan serta kemudahan penginapan sepanjang program, manakala lima Rakan Usahawan PUNB terpilih akan bertindak sebagai mentor dengan memberi latihan dan tunjuk ajar kepada peserta.
Rakan Usahawan PUNB yang terlibat ialah Awie Tayar & Services, Maxipura Sdn Bhd, Kah Millenium Work Sdn Bhd, Azam MM Sdn Bhd dan Wan Nor Auto Services Sdn Bhd.
Sementara itu, perjalanan PUNB ke arah SDG diiktiraf menerusi penganugerahan anugerah khas kategori ‘Best Sustainability Report’ di Malam Anugerah Persatuan Institusi Kewangan dan Pembangunan di Asia serta Pasifik (ADFIAP) 2023 yang diadakan di Almaty, Kazakhstan, baru-baru ini.
Pengiktirafan daripada institusi global yang disegani seperti ADFIAP adalah satu penghormatan dan pencapaian yang cemerlang buat PUNB. - DagangNews.com