Punca sebenar Papparich diselubungi masalah | DagangNews Skip to main content

Punca sebenar Papparich diselubungi masalah


KUALA LUMPUR 10 Julai – Hutang tidak berbayar sebanyak RM37.22 juta merupakan punca pengendali rantaian restoran Papparich di Malaysia dilanda kemelut besar sehingga disaman untuk ditutup operasi.

Petisyen tersebut difailkan terhadap Papparich Group Sdn Bhd (PGSB) oleh Agathisfour Sdn Bhd ekoran jumlah yang dihutang oleh kumpulan dan subsidiarinya serta syarikat berkaitan kepada Papparich Malaysia Sdn Bhd dan Roti-Roti International Sdn Bhd (RRI).

PappaRich membuka restoran pertamanya pada 2006 dan kini memiliki 55 restoran yang masih beroperasi.

Menurut dokumen mahkamah yang diperoleh theedgemarkets.com, PGSB, Agathisfour dan Papparich Malaysia memeterai perjanjian pada Mei 2014 untuk Agathisfour mengambil alih 4.47 juta saham di dalam Papparich Malaysia pada harga RM24 juta dan sebanyak 325,303 saham baharu di dalam syarikat bernilai RM6 juta.

Menurut perjanjian itu, PGSB harus menyelesaikan sepenuhnya yang dihutang (bukan perdagangan) kepada Papparich Malaysia dalam tempoh 36 bulan daripada tarikh perjanjian, selain jumlah yang dihutang kepada RRI menjelang Oktober 2015.

Tarikh penyelesaian hutang kepada RRI itu kemudiannya dilanjutkan kepada Mei 2017.

Bagaimananpun, Agathisfour mendakwa PGSB telah gagal membayar sepenuhnya atau menyelesaikan baki yang dihutang, berjumlah RM37.22 juta.

Disebabkan kegagalan tersebut, Agathisfour mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi, di samping petisyen pemberhentian operasi, juga atas pelbagai kerugian termasuk perintah bagi prestasi khusus perjanjian terhadap syarikat, selain pampasan kerugian.

Kes ini menanti proses pendengaran kes di Mahkamah Tinggi.

Agathisfour berpendapat PGSB kini insolven dan tidak mampu membayar hutangnya berikutan kegagalan syarikat membayar RM1.069 juta di dalam tempoh 21 hari.

Akaun syarikat yang diaudit menunjukkan PGSB memiliki jumlah keseluruhan aset bernilai RM25.85 juta iaitu kurang daripada jumlah liabiliti sebanyak RM29.48 juta.

Satu fail yang direkodkan di mahkamah menunjukkan perjanjian pada Mei 2014, PGB memiliki 70% kepentingan di dalam Papparich Malaysia manakala baki 30% dimiliki Agathisfour.

Sementara itu RRI, yang terlibat di dalam perniagaan fancais restoran Papparich, selain pembuatan, pembekalan dan pengedaran produk makanan, dimiliki 100% oleh Papparich Malaysia.

papa2
RESTORAN Papparich masih beroperasi dan pakej
juadah di atas adalah promosi bagi bulan Julai ini.
 


Dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan PGSB adalah 49.99% dimiliki Chen Khai Voon, manakala baki dipegang oleh Adventure Driven Sdn Bhd, yang mana Chen adalah pemegang saham bersama Lim Beng Guan.

Menurut theedgemarkets.com, Chen adalah pengasas syarikat pembekalan perindustrian KVC Industrial Supplies Sdn Bhd dan juga merupakan ahli lembaga pengarag Nadayu Properties Sdn Bhd dan syarikat tersenarai Genetec Technology Bhd.

Lim Beng Guan pula adalah pengasas bersama ZJ Advisory Sdn Bhd, dan juga pemegang saham majoriti Concrete Parade, yang memfailkan sama ke atas Apex Equity Holdings Bhd tahun lalu.

Dia memiliki satu saham di dalam Agathisfour, manakala baki saham dimiliki lebih daripada 10 pemegang saham lain.

Pemegang saham terbesar Agathisfour adalah firma ekuiti swasta, Y Capital Management Inc dan entiti berpangkalan di Pulau Cayman, Agathis Management Ltd.

Sementara itu, petition mengarah penutupan restoran Papparich akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 3 November ini.

Difahamkan PGSB juga berdepan dengan satu lagi petisyen mengarah penutupan oleh Chen yang dijadual pendengaran kes pada 21 September ini.

Operasi Papparich di luar negara dilakukan secara francais yang dikendali oleh ST Group Food Industries Holdings dan setakat Ogos 2019, memiliki 35 restoran, termasuk di Australia.

Keuntungan PGSB mencatat penurunan sejak 2012 dengan syarikat jatuh ke tahap paling teruk pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018, dengan kerugian bersih RM11.93 juta.

Papparich Malaysia juga mencatat kerugian bersih RM536,547 pada tahun 2018 berbanding untung bersih RM1.36 juta pada 2017. – DagangNews.com