Puncak Niaga hentikan saman RM13.5 bilion terhadap Kerajaan Selangor selepas enam tahun | DagangNews Skip to main content

Puncak Niaga hentikan saman RM13.5 bilion terhadap Kerajaan Selangor selepas enam tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept - Puncak Niaga Holdings Berhad memutuskan untuk menghentikan saman RM13.5 bilion terhadap bekas Menteri Besar (MB) Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan negeri Selangor, atas dakwaan salah guna kuasa dalam pengambilalihan konsesi air syarikat itu. 

 

Tindakan itu dibuat selepas enam tahun syarikat itu mempertahankan samannya.

 

Saman itu adalah berkaitan perjanjian pembelian saham pada 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan kumpulan itu berkata ia memfailkan permohonan pemberhentian saman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

 

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas tarikh pengurusan kes Mahkamah Tinggi Shah Alam, selepas tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini pada 2 hingga 5 Oktober 2023 dan 9 hingga 12 Oktober 2023, dikosongkan.

 

Puncak Niaga menamakan Khalid, bekas Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali dan negeri Selangor dalam samannya.

 

Bagaimanapun, Khalid dan Azmin berjaya membatalkan saman terhadap mereka.

 

Mahkamah Rayuan bagaimanapun membenarkan rayuan Puncak Niaga untuk mengembalikan semula Khalid dan kerajaan Selangor sebagai defendan, pada Februari 2021.

 

Pada Jun 2021, syarikat itu diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk dibicarakan bagi samannya terhadap Khalid dan negeri itu. Khalid meninggal dunia pada Julai 2022.

 

Puncak Niaga dalam pemfailan kepada bursa hari ini berkata, pemberhentian tuntutannya akan membolehkan Puncak Niaga mengurangkan menanggung lebih banyak sumber dan kos lanjut untuk meneruskan perkara itu di mahkamah.

 

"Pemberhentian tuntutan itu membolehkan Puncak Niaga menumpukan perhatian kepada usaha mencapai objektif perniagaannya dan strategi ke arah pertumbuhan mampan jangka panjang kumpulan syarikat Puncak," katanya. 

 

Kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM14.14 juta berbanding pendapatan RM126.54 juta untuk enam bulan pertama tempoh kewangan 30 Jun 2023. 

 

Puncak Niaga kini mempunyai perjanjian konsesi bagi membina hospital pengajaran untuk kerajaan, bersama-sama dengan pembinaan dan perladangan perniagaan. - DagangNews.com