Para pelatih Pusat Latihan Pertanian Kaiduan di Papar, Sabah membajak tanah mengikut batas yang ditetapkan.
Oleh DOMINIC G. JOSEPH
melaporkan dari Sabah untuk DagangNews.com
PAPAR 29 Okt – Mengambil kesempatan daripada tanah yang luas lagi subur untuk diusahakan di Sabah, Pusat Latihan Pertanian Kaiduan (KATC) yang terletak di daerah Papar menyediakan program latihan bagi membimbing generasi muda bertani.
KATC yang baharu ditubuhkan pada 21 Oktober 2021 oleh badan pertubuhan bukan kerajaan, Osimal Foundation untuk mendedahkan dunia pertanian khususnya kepada golongan muda di negeri Sabah.
Pengetua KATC Rebekah Alpheus berkata, pada peringkat permulaan ini, seramai tujuh pelatih mengikut program yang diadakan di pusat latihan tersebut dan bila beroperasi sepenuhnya nanti, berkemampuan menerima sehingga 80 pelatih.
Menurut beliau, program latihan pertanian yang ditawarkan di KATC setakat ini adalah program selama 6 bulan. Kemudahan seperti penginapan, makan-minum, peralatan belajar, pakaian seragam serta peralatan ladang semasa latihan adalah disediakan sepenuhnya.
‘’Bagi menghasilkan petani muda yang berpengetahuan luas dalam bidang pertanian, KATC juga berkolaborasi dengan badan-badan pertanian lain untuk melatih dalam pengkhususan seperti tanaman cendawan, penternakan ikan dan lembu, serta pertanian moden seperti akuaponik dan hidroponik.
‘’Para pelatih akan dihantar ke tempat-tempat tersebut (tertakluk kepada kolaborasi) selama 2–4 minggu. Walau bagaimanapun, latihan pada 3 bulan pertama di KATC adalah wajib dan muktamad,’’ kata beliau kepada DagangNews.com.
Pada masa ini, KATC menawarkan mata pelajaran dan latihan seperti Pengenalan kepada Pertanian, Budaya Berkebun Organik; Pertanian Moden: Fertigasi; Penternakan Ikan dan Lembu; Pertanian Moden: Hidroponik/Akuaponik; Pertanian Cendawan dan Penjagaan Landskap.
Rebekah berkata, bagi memastikan tugas-tugas dan pembelajaran diserap dengan lebih efektif oleh para pelatih, lebih masa diperuntukkan kepada para pelatih untuk aktiviti-aktiviti praktikal dan mengajar mereka berkebun secara individu atau berkumpulan bergantung kepada situasi.
"Sebagai penyelaras program, saya memantau pelaksanaan kerja-kerja yang terlibat di dalam kawasan yang berkeluasan 3.2 hektar (8 ekar), termasuklah operasi, penjadualan penanaman, dan penyenggaraan tanaman bagi memastikan pengeluaran hasil tidak terhenti dan sumber makanan mencukupi bagi kakitangan dan para pelatih di KATC," jelasnya.
Beliau merupakan graduan Pengurusan Seni dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 2018 dan kemudian menyertai Kursus Pertanian selama 6 bulan di Pusat Latihan Pertanian Damai, Kota Marudu dan menyertai Kursus Teknologi Pertanian Fertigasi anjuran Bayu Farm.
Rebekah juga merupakan salah satu daripada tenaga pengajar yang menumpukan masa menyampaikan teori dan mengendalikan kelas-kelas praktikal dalam hal-hal pertanian kepada para pelatih.
Menurutnya, misi KATC adalah untuk menghasilkan pelatih yang berkeupayaan dalam merancang dan menjalankan kegiatan pertanian sebagai kerjaya yang mampu menjana pendapatan sama ada menggunakan sistem pertanian moden atau tradisional.
‘’Kami berharap agar golongan muda mengambil peluang keemasan ini untuk belajar bersama kami.
‘’Selain daripada kursus-kursus yang ditawarkan, pelatih KATC berpeluang mendapatkan dana kecil untuk memulakan bisnes-tani mereka setelah tamat latihan,’’ katanya.
Rebekah berkata, para pelatih juga akan dibimbing secara individu untuk mengorak idea dan cita-cita mereka dalam perancangan dan pelaksanaan bisnes-tani mereka.
‘’Apa yang lebih menarik, produk atau hasil para pelatih akan dibeli oleh KATC,’’ kata beliau.
Menurutnya lagi, kejayaan seorang para pelatih bukan hanya ditumpukan kepada aspek tahap pendidikan dan latihan pertanian yang tinggi tetapi pembangunan dan penerapan nilai-nilai murni seperti keyakinan, kecekapan, kerajinan, matlamat, minat serta semangat anda ingin belajar bersama KATC. – DagangNews.com