Radium Development terima 'lampu hijau' Suruhanjaya Sekuriti untuk penyenaraian IPO di Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Radium Development terima 'lampu hijau' Suruhanjaya Sekuriti untuk penyenaraian IPO di Bursa Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - Pemaju hartanah Radium Development Berhad (RDB) berjaya menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Gary Gan Kah Siong berkata, Radium telah memberi tumpuan untuk membolehkan pemilikan rumah di Kuala Lumpur dalam kategori rumah mampu milik.

 

Beliau berkata, strategi itu telah membuahkan hasil yang baik kerana pembeli rumah dapat menikmati gaya hidup bandar dalam infrastruktur dan kemudahan yang dibangunkan dengan baik seperti pengangkutan awam, institusi pendidikan, kemudahan penjagaan kesihatan, pusat beli-belah dan taman rekreasi.

 

“Kami teruja untuk memulakan lembaran baharu ini dalam perjalanan kami, menimba pengalaman bertahun-tahun untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam ruang pembangunan hartanah bandar.

 

"Kami komited untuk menyediakan standard kualiti dalam projek semasa dan akan datang, selaras dengan matlamat kami untuk membina yang sesuai untuk masyarakat.

 

gary
Gary Gan Kah Siong 

 

"Tambahan pula, IPO kami yang akan datang di Pasaran Utama akan memanfaatkan lebih banyak pemegang kepentingan dan negara dalam menyokong agenda rumah mampu milik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sejak 2013, Radium berjaya menyiapkan projek kediaman bertingkat bernilai RM1.49 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) yang terletak di Kuala Lumpur.

 

Sehingga 31 Ogos 2022, projek yang berjaya disiapkan Vista Wirajaya, Vista Semarak, Platinum OUG Residence dan Vista OUG telah dijual sepenuhnya, manakala Platinum Splendor Residensi Semarak berada pada kadar penggunaan 99.93%.

 

Meneruskan trajektori pertumbuhannya, syarikat kini sedang membangunkan projek dengan GDV terkumpul sebanyak RM1.45 bilion.

 

Radium telah menerima beberapa pengiktirafan industri untuk projek yang telah siap dan sedang berjalan.

 

Malacca Securities merupakan penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO Radium. - DagangNews.com