Gambar hiasan
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Mungkin ada sesetengah melihat pendekatan untuk kerja dari rumah lebih memudahkan dan efisien susulan penularan pandemik COVID-19.
Namun, menurut kajian yang dijalankan oleh Randstad Malaysia, seramai 48% responden di negara ini mahukan cara kerja yang fleksibel di mana boleh beroperasi dari pejabat mahupun di rumah pasca pandemik itu.
Berbeza dengan 14% responden lain yang mahu cara kerja dari rumah dikekalkan, jelas Randstad Malaysia.
Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, dasar pekerjaan yang fleksibel dapat mengurangkan tahap tekanan dan meningkatkan semangat pekerja.
Ini memandangkan mereka dibenarkan untuk mencari cara sendiri bagi mengimbangi antara pekerjaan dan kehidupan peribadi, ujarnya.
“Bagaimanapun, kerja yang mudah alih juga boleh memberi kesan kepada budaya organisasi memandangkan ia akan menjadi sukar untuk memupuk perhubungan dan meniru semangat yang diperlukan untuk kerjasama berkesan.
“Syarikat-syarikat perlu mengambil langkah untuk mencari strategi yang seimbang dalam mengekalkan budayanya dan memenuhi harapan pekerja,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini berhubung kaji selidik Randstad Workmonitor.
Kaji selidik itu mengetengahkan kebimbangan dan cabaran utama yang dihadapi oleh responden.
Kajian itu dilaksanakan pada Oktober tahun lalu di 34 pasaran di seluruh dunia dengan minimum 400 responden di setiap pasaran.
Berdasarkan kajian itu, ramai majikan yang telah mempercepatkan pembangunan keupayaan teknologi untuk mempersiap-siagakan pekerja dengan perkakasan dan perisian yang cukup untuk kerja mudah alih.
Menurut Randstad Malaysia, lebih empat daripada lima responden (82%) berpendapat mereka mempunyai kelengkapan dan teknologi untuk menangani digitalisasi dalam pekerjaan mereka.
Sementara itu, lapan daripada 10 responden pula berpendapat majikan mereka memberi sokongan dari segi mental dan emosi sepanjang pandemik ini.
Namun, sentimen itu sedikit rendah dalam kalangan pekerja matang dengan 74% daripada responden yang berumur 45 hingga 54 tahun menyatakan mereka menerima sokongan daripada majikan, tambah Randstad Malaysia lanjut.
Dalam pada itu, satu daripada tiga responden berharap majikan mereka dapat menyediakan program bantuan pekerja pasca COVID-19, menurut kajian itu.
Sementara satu daripada dua responden pula mengharapkan majikan mereka dapat menyediakan dasar kesihatan yang baik serta protokol selamat dan akses insurans kesihatan.
Tambah Naeem, interaksi sosial yang terhad dan ketakutan yang tinggi mengenai virus itu boleh menimbulkan masalah kesihatan yang serius.
“Ini mungkin bertambah buruk oleh garis yang tidak jelas antara kerja dan kehidupan.
“Oleh itu, pekerja lebih cenderung merujuk kepada pengurus mereka untuk mendapatkan bantuan dan bimbingan dalam menguruskan tahap tekanan mereka pada masa-masa yang luar biasa,” jelasnya lanjut. - DagangNews.com