Ranhill berpotensi raih projek loji janakuasa gas 100MW di Kimanis - TA Research | DagangNews Skip to main content

Ranhill berpotensi raih projek loji janakuasa gas 100MW di Kimanis - TA Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jan - Ranhill Utilities Berhad merupakan antara syarikat berpotensi untuk meraih projek loji janakuasa gas 100MW baharu di Kimanis, Sabah ketika negeri itu berusaha untuk mengambil alih lebih kawalan ke atas infrastruktur tenaganya.

 

TA Research berkata, peranan utama Ranhill sebagai pengeluar tenaga bebas (IPP) dalam keadaan kekurangan kuasa meletakkan kumpulan itu dalam kedudukan yang baik untuk menerajui pembangunan projek yang dirancang.

 

Katanya, cadangan projek loji janakuasa dan naik taraf penghantaran grid timur-barat Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk menghantar 400MW bekalan elektrik dari pantai barat negeri ke pantai timur yang kekurangan tenaga.

 

Projek baharu ini dijangka mencapai tarikh operasi komersial (COD) pertamanya pada April 2024 dan COD akhir menjelang Januari 2025.

 

“Kami percaya rekod prestasi Ranhill yang mantap di Sabah akan meningkatkan peluangnya untuk mendapatkan projek ini. 

 

"Ranhill ialah IPP terbesar di Sabah, dengan bahagian pasaran 40% berdasarkan kapasiti terpasang,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Ranhill memiliki dua loji jana kuasa gas di Taman Perindustrian Kota Kinabalu dengan kapasiti 190MW setiap satu dan disokong dengan perjanjian pembelian kuasa (PPA) 21 tahun dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

 

SESB adalah 82.75% dimiliki oleh Tenaga Nasional Berhad dan selebihnya oleh kerajaan negeri Sabah. 

 

Firma itu berkata, kerajaan negeri akan membentangkan rang undang-undang di Dewan Undangan Negeri pada April 2023 yang akan membuka jalan kepada pembentukan Suruhanjaya Tenaga Sabah, yang akan memberi kerajaan negeri Sabah kawalan penuh dalam menguruskan sumber tenaganya, terutamanya elektrik. 
Kerajaan negeri akan mengambil semula SESB.

 

"Sekiranya Ranhill berjaya dalam bidaannya untuk mendapatkan loji 100MW, ini akan menghasilkan pertambahan nilai semasa bersih sebanyak 15 sen sesaham kepada harga sasaran (TP) Ranhill.

 

"Ujuran harga disokong oleh PPA 21 tahun yang tamat pada Disember 2045, tempoh pembinaan dua tahun, Ranhill memiliki 100% kepentingan dan perbelanjaan modal RM261 juta," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan TP 55 sen, lebih tinggi berbanding 45 sen sebelum ini. - DagangNews.com