KUALA LUMPUR 3 Mac - Malaysia perlu meningkatkan tenaga buruh berkemahiran tinggi di dalam bidang teknikal dan saintifik bagi membolehkan negara bersaing setelah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuatkuasa, kata Prof Datuk Rajah Rasiah, Profesor Ulung, Ekonomi, Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya.
Katanya, terdapat beberapa firma negara ini telah mencapai prestasi yang sangat baik, contohnya, Aerodyne dan Dreamedge, tetapi kebanyakan yang lain bersaing dalam aktiviti tambah nilai sederhana dan teknologi.
Memandangkan kini RCEP tidak mungkin menjejaskan firma sedemikian, termasuk firma yang memasang mesin automatic, Prof Rajah berkata: “Peralihan kepada teknologi tambah nilai tinggi dalam industri ini akan memerlukan peningkatan besar-besaran tenaga buruh teknikal dan saintifik negara.”
“Di samping itu, langkah pengawalseliaan yang ketat untuk memastikan bahawa penerima insentif dan geran berdisiplin untuk menaik taraf ke sempadan teknologi,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang Malaysia yang dijadualkan menguatkuasakan RCEP bermula 18 Mac ini, selepas menjadi negara ke-12 secara rasmi melengkapkan surat cara ratifikasi (IOR) perjanjian itu.
Selaras dengan Artikel 20.6 Perjanjian RCEP yang memperuntukkan bahawa perjanjian itu akan berkuatkuasa selepas 60 hari surat cara ratifikasi diserahkan kepada Sekretariat Asean selaku Depositary Perjanjian RCEP.
Dengan penyerahan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat Asean, Malaysia akan menyertai 11 negara lain yang telah melengkapkan proses ratifikasi iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan.
Merujuk kepada industri pengeluaran cip semikonduktor, Prof Rajah berkata terdapat lebih banyak firma asing utama berpindah ke Malaysia berbanding di Korea Selatan dan Taiwan menjelang 1970an.
Katanya, dengan melaksanakan strategi mempertingkatkan tenaga buruh berteknologi tinggi menyaksikan firma Korea Selatan dan Taiwan bersaing dengan penyandang dunia.
Samsung dan Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) bahkan telah tersebar luas ke seluruh dunia dengan produk cip masing-masing.
Justeru, menurut Prof Rajah berkata terdapat keperluan yang jelas untuk meremajakan taman sains dan organisasi perantara lain yang ditubuhkan sejak 1991.
“Ini perlu dilaksanakannya jika kita mahu melihat kumpulan besar firma Malaysia dalam industri sedemikian bersaing dalam aktiviti tambah nilai tertinggi.
Ditanya sama ada RCEP boleh menjejaskan ekonomi Malaysia, Prof Raja berkata: “Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi liberal yang berasaskan pelaburan dan perdagangan dengan tarif dan subsidi yang rendah.”
‘’Kecuali dalam bidang yang berkaitan dengan kepentingan negara, seperti pemilikan mengikut etnik dan AP untuk import.
“Kita mempunyai halangan bukan tarif yang diamalkan oleh kebanyakan negara dengan bersembunyi di sebalik tabir kesahihan,” ujar beliau.
''Oleh itu, saya tidak nampak RCEP menjejaskan ekonomi Malaysia, kecuali ia mungkin tidak memberi kelebihan kepada Vietnam untuk menarik pelaburan langsung asing masuk,” ujar Prof Rajah.
RCEP adalah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar di dunia yang meliputi 15 negara dengan 2.2 bilion atau hampir satu pertiga (29.5%) penduduk dunia, mewakili AS$25.8 trilion (RM108 trilion) atau 29.4% keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia. – DagangNews.com