KUALA LUMPUR 30 Ogos - Malacca Securities menjangkakan Rexit Berhad terus berdepan masa depan mencabar kesan daripada risiko geopolitik serta pertumbuhan ekonomi global yang tidak stabil.
Firma itu berkata, Rexit komited terhadap strategi pengembangannya untuk membawa dua pelanggan baharupada FY23 dan FY24, sambil mendapatkan perniagaan baharu daripada pelanggan sedia ada.
Firma itu yakin, perisian e-PPA akan meningkat apabila sentimen pelabur bertambah baik dan akan memacu prestasi syarikat unit amanah.
"Perisian e Cover kekal sebagai perniagaan teras kumpulan, menyumbang sekitar 80% daripada hasil termasuk yuran langganan dan transaksi," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Firma itu menyukai asas langganan sebagai sebahagian daripada model perniagaan dengan kumpulan itu mengharapkan aliran hasil yang stabil sebaik sahaja berjaya mendapat pelanggan.
Firma itu juga tidak menjangkakan sebarang peningkatan ketara pusat data sedia ada sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun akan datang berikutan pemindahan ke pusat data diperakui Tahap 3 di TM One.
"Sebarang perbelanjaan modal yang diperlukan semasa proses pembangunan perisian akan disokong oleh kedudukan tunai kumpulan yang stabil (RM26.4 juta pada 4QFY22)," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 83 sen sesaham.
Bagaimanapun, firma itu berkata, risiko terhadap saranan mereka adalah merangkumi risiko keselamatan dan gangguan sistem seperti virus komputer yang boleh menjejaskan keunpayaan kumpulan dalam menyampaikan produknya.
"Kumpulan itu juga terdedah kepada risiko kelewatan pelancaran perisian dan kekurangan tenaga pekerja berkelayakan juga akan melambatkan proses pembangunannya," katanya. - DagangNews.com