KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kenanga Research menjangkakan RHB Bank Berhad akan memperuntukkan RM500 juta dalam tempoh tiga tahun ke hadapan bagi memodenkan operasinya dengan beberapa prospek automasi utama dikenal pasti untuk meningkatkan pengalaman serta produktiviti pelanggan.
Firma itu berkata, pelaburan itu adalah bertujuan memastikan pengalaman pelanggan lebih lancar dan pelasanaan analisis data yang lebih baik bagi membolehkan pendekatan yang lebih reaktif oleh bank dalam mengenal pasti segmen baharu.
"Pada masa sama, peningkatan kemahiran tenaga kerja akan menjadi sesuatu yang progresif bagi memastikan nilai dan kecekapan kakitangan kekal tidak terjejas pada masa hadapan," katanya dalam nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu akan memanfaatkan operasinya di Singapura bagi meningkatkan segmen pinjaman komersial dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di rantau ASEAN.
Katanya, Kemboja dilihat sebagai kawasan tumpuan baharu dengan kumpulan itu berusaha untuk memperoleh pertumbuhan pinjaman tahunan sebanyak 20% dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Disokong oleh potensi pertumbuhannya, pengembangan pendapatan sebanyak 10% setahun dari Kemboja dan Singapura digabungkan mungkin ia dapat direalisasikan namun ia adalah kurang 5% daripada pendapatan keseluruhan kumpulan ketika ini," katanya.
Bagaimanapun, firma itu berkata, kumpulan itu berkemungkinan berdepan tekanan margin yang lebih tinggi berbanding jangkaan selain perkembangan pinjaman yang lebih rendah daripada jangkaan.
"Mereka juga mungkin berhadapan kemerosotan kualiti aset yang lebih teruk daripada jangkaan, aktiviti pasaran modal yang lebih perlahan, kadar tukaran mata wang asing yang tidak stabil selain kemungkinan perubahan kadar dasar semalaman (OPR)," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM7.00 sesaham. - DagangNews.com