RHB Investment jangka pasaran tidak menentu akibat konflik Iran-Israel, perkembangan di AS  | DagangNews Skip to main content

RHB Investment jangka pasaran tidak menentu akibat konflik Iran-Israel, perkembangan di AS 

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 April - Beberapa peristiwa di peringkat global termasuk ketegangan yang semakin buruk di Asia Barat mungkin menyebabkan pasaran saham menjadi semakin tidak menentu.

 

RHB Investment Bank (RHB Investment) berkata, selain konflik Iran-Israel, tidak terkecuali dijangka memberi kesan ialah perubahan jangkaan kadar Dana Persekutuan AS (FFR) di samping pilihan raya presiden AS yang bakal berlangsung.

 

"Apabila berdepan senario sebegini, kami bertindak menaikkan saranan bagi Public Bank kerana kami melihat adanya ruang untuk saham bermodal besar, bertahan dan berkualiti dalam portfolio pelabur mengharungi keadaan tidak menentu ini. 

 

"Secara asasnya, prospek pertumbuhan kumpulan ini tidak berubah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, RHB Investment menggariskan lima sebab saranan Public Bank dinaik taraf termasuk perolehan yang selamat. 

 

pbbank

 

Kata firma itu, perolehan Public Bank yang didorong oleh pasaran tempatan dengan faktor pemacu yang stabil membolehkan para pelabur meramal perolehan dengan baik.

 

 

 

"Faktor kedua ialah prestasi lebih rendah saham ini berbanding FBM KLCI sebanyak 9% dari awal tahun hingga terkini (YTD). 

 

"Tumpuan mungkin beralih kepada saham yang ketinggalan nilainya apabila keadaan semakin tidak menentu," jelasnya.

 

Kata RHB Investment, faktor ketiga ialah penilaian manakala keempat, pegangan saham asing yang rendah iaitu kini mencecah 25.4%.

 

Ujar firma penyelidikan itu, faktor kelima ialah ciri-ciri saham ini yang cair dan bermodal besar.

 

"Saranan dinaik taraf kepada 'Beli' daripada 'Neutral', harga sasaran (TP) baharu mencecah MYR4.80 daripada MYR4.70.

 

"Harga saham berpotensi menaik 16% dengan kadar hasil dividen untuk FY24F sekitar 5%," katanya. - DagangNews.com