RHB Investment kekal saranan 'neutral' terhadap sektor teknologi namun kekal berhati-hati terhadap segmen cip | DagangNews Skip to main content

RHB Investment kekal saranan 'neutral' terhadap sektor teknologi namun kekal berhati-hati terhadap segmen cip

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - RHB Investment mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor teknologi namun kekal berhati-hati terhadap segmen cip berikutan kelembapan yang berlarutan serta penilaian yang tinggi.

 

Firma penyelidikan itu menyukai syarikat-syarikat domestik, memandangkan permintaan yang agak stabil dan menyokong permainan beta untuk menjejaki perkembangan sektor cip global.

 

"Pada masa sama tumpuan perlu diberikan kepada bakal penerima manfaat rantaian bekalan Huawei," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, keputusan suku kedua bagi sektor itu kebanyakannya selaras dengan unjuran berikutan beberapa pemotongan anggaran pendapatan sebelum ini.

 

Bagaimanapun, tiga daripada sembilan syarikat gagal mencapai jangkaan iaitu Unisem (M) Berhad, JHM Consolidation Berhad, dan Coraza Integrated Technology Berhad, disebabkan permintaan yang lebih perlahan dan kehilangan skala ekonomi, ditambah dengan kos input yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, firma itu berkata, Malaysian Pacific Industries Berhad mengatasi jangkaan pada margin keuntungan yang lebih baik, dirangsang oleh dolar Amerika Syarikat (AS) yang kukuh.

 

“Kami perhatikan penilaian sektor ini tidak menarik, kerana pemulihan sepenuhnya masih jauh dan beberapa penilaian saham masih jauh di atas paras pra-pandemik.

 

"Lembaran imbangan dan dolar AS yang kukuh seharusnya membantu sektor itu," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyukai CTOS Digital Berhad kerana perniagaannya tertumpu kepada segmen domestik, kedudukan utama dan prospek pertumbuhan untuk penyelesaian digital dan teknologi kewangannya.

 

“Antara syarikat modal kecil, kami menyukai Datasonic Group Berhad kerana menjangkakan permintaan kukuh yang berterusan untuk penyelesaiannya dalam projek keselamatan negara dan potensi kejayaan projek baharu.

 

"Bagi sektor semikonduktor, kami menyukai Inari Amertron Berhad sebagai proksi kepada industri, memandangkan kecairannya yang kukuh dan modal pasaran yang agak besar.

 

“Sektor itu bagaimanapun berdepan beberapa risiko termasuk pemintaan dan tukaran mata wang asing yang tidak stabil selain teknologi yang ketinggalan, kekurangan pelanggan baharu dan ketegangan geopolitik," katanya. - DagangNews.com