RHB Research kekal berhati-hati terhadap prospek sektor automotif bagi 2023 | DagangNews Skip to main content

RHB Research kekal berhati-hati terhadap prospek sektor automotif bagi 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Dis - RHB Research kekal berhati-hati terhadap prospek sektor automotif tahun depan kerana pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dilihat akan menjejaskan jualan dan hasil pendapatan.

 

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), November 2022 mencatatkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 64,404 unit, menjadikan pendaftaran kenderaan tahun ini kepada 642,000.

 

Firma itu menjangkakan jualan kenderaan yang kukuh pada Disember 2022 dan berpendapat bahawa TIV bagi tahu ini mungkin mencecah 700,000 unit, mengatasi rekod 667,000 unit pada 2015.

 

"Kami kekal berhati-hati dengan prospek 2023, kerana pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan boleh menjejaskan jualan kenderaan bagi 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menjangkakan, TIV 2023 akan menguncup sebanyak 14% kepada 600,000 unit.

 

Unjuran itu berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada 2023 berikutan ketiadaan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

"Unjuran 600,000 kami telah menyumbang untuk 1QFY23 yang mungkin kukuh kerana syarikat berusaha untuk menghantar pesanan dikecualikan SST sebelum akhir Mac 2023.

 

"MAA sebelum ini meramalkan TIV 2022 sebanyak 630,000 unit (MAA 2023: 636,000 unit)," katanya.

 

Firma itu menjangkakan keadaan ekonomi 2023 lebih perlahan boleh terus mempengaruhi sentimen sektor itu melangkaui penghantaran yang kukuh dalam tempoh terdekat.

 

"Kami kekal 'neutral' terhadap sektor itu dengan pilihan utama kami ialah Bermaz Auto Berhad (BAuto) dan Sime Darby Berhad.

 

"Risiko penurunan utama termasuk kekurangan komponen yang semakin teruk, ringgit yang semakin lemah, dan masalah ekonomi makro yang lebih teruk daripada jangkaan," katanya. - DagangNews.com