KUALA LUMPUR 15 Dis - Innoprise Plantations Berhad dijangka meneruskan prestasi 'outperform' walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) mencatatkan penurunan.
RHB Research berkata, dengan hasil dividen yang menarik sebanyak 10-15% bagi FY22 hingga FY24, firma penyelidikan itu percaya kumpulan itu memiliki dividen yang menarik dalam sektor perladangan, memandangkan arah aliran menurun harga kitaran MSM.
Katanya, profil kematangan ladang baharu harus dilihat sebagai pertumbuhan pengeluaran masa depan yang positif yang akan membantu mengimbangi kesan harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah.
Sebagai pemain industri huluan tulen, firma itu berkata, prestasi kewangan dan harga saham kumpulan itu bergantung kepada prestasi harga MSM.
Memandangkan sensitivitinya terhadap harga MSM, firma itu berkata saham ini menunjukkan prestasi yang baik pada masa kenaikan harga MSM dan begitu juga sebaliknya.
"Bagaimanapun, kami menyerlahkan bahawa kumpulan itu terus mengatasi prestasi, walaupun harga MSM mencatatkan kejatuhan.
"Harga sahamnya hanya merosot sebanyak 14% walaupun harga MSM turun 49% daripada harga puncak," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
RHB Research telah mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) pendapatan tiga tahun masa hadapan sebanyak -5.1%.
Firma itu berkata, ia adalah sejajar dengan andaian penurunan harga MSM bagi setiap tan sebanyak RM5,100 untuk FY22, RM3,900 untuk FY23 dan RM3,500 untuk FY24, tetapi diimbangi dengan pertumbuhan tandan buah segar yang positif berterusan sebanyak 2.8-7.8% dalam tempoh tersebut.
"Kami mengunjurkan nilai wajar (FV) RM1.75 pada saham berdasarkan sepuluh kali pendapatan FY23," katanya. - DagangNews.com