KUALA LUMPUR 20 Julai - RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) baru-baru ini, berkongsi kepakarannya dalam membimbing usahawan-usahawan di Indonesia.
Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd berkata, program itu direalisasikan hasil pertemuan bersama Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif, Dr Sandiaga Uno dan kementerian pada awal Jun lalu.
"Alhamdulillah, terima kasih atas kepercayaan diberikan Dr Sandiaga dan kementerian kepada RichWorks bersama mentor usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman dalam menyokong usahawan di sana.
"InsyaAllah, RichWorks akan terus membantu dan bekerjasama dengan pihak kementerian dan agensi berkaitan dalam berkongsi kepakaran membimbing dan transformasi usahawan ke peringkat lebih tinggi walaupun ketika krisis," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Radz berkata, pihak RichWorks juga akan menaja sekitar 50 usahawan Indonesia yang layak untuk mengikuti selama 3 hari dalam Inner Circle Meeting (ICM) Indonesia 2022 di Bali, September nanti.
"Malah Azizan turut umumkan sesi business coaching secara percuma buat usahawan Indonesia yang akan dibuat hujung bulan ini, insyaAllah," ujarnya.
Sementara itu, Dr Sandiaga mengucapkan penghargaan atas kolaborasi yang tercipta antara kementeriannya dan RichWorks.
Katanya, usahawan yang hadir pastinya akan mendapat manfaat daripada mentor yang bertaraf dunia dan terbukti melahirkan ramai usahawan jutawan.
"Peserta akan ketahui panduan untuk majukan bisnes dan bangkit dari krisis.
"Sekitar 50 usahawan terbaik juga akan berpeluang untuk mengikut latihan bersama RichWorks di Bali pada September nanti," jelasnya. - DagangNews.com