Ringgit dijangka pulih akhir tahun ini, berlegar pada kadar RM4.10 hingga RM4.37 berbanding dolar – Ketua Pakar Ekonomi Shan Saeed | DagangNews Skip to main content

Ringgit dijangka pulih akhir tahun ini, berlegar pada kadar RM4.10 hingga RM4.37 berbanding dolar – Ketua Pakar Ekonomi Shan Saeed

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 19 Jun – Ringgit dijangka kembali mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang dijangka melemah dan kekal di bawah tekanan apabila Rizab Persekutuan (Fed) AS menghentikan sementara tindakan menaikkan kadar faedah.

  

Ringgit dijangka berlegar pada kadar RM4.10 hingga RM4.37 berbanding dolar akhir tahun. 

 

Ketua Ahli Ekonomi, Juwai IQI, Shan Saeed berkata, Fed menaikkan kadar faedah kepada 5.00 hingga 5.25 peratus, apabila ekonomi mencapai pertumbuhan di bawah paras dengan penggunaan yang lemah.  

 

“Rang Undang-Undang Had Siling Hutang AS yang ditandatangani awal bulan ini membuka jalan untuk mengelakkan kemungkiran hutang pada ekonomi utama dunia itu. 

 

“Dengan menaikkan had hutang yang kini berjumlah AS$31.4 trilion akan memastikan kerajaan AS boleh meminjam untuk membayar hutang dengan lancar," kata Shan kepada DagangNews.com di sini hari ini. 


 

Shan Saeed
                                          Shan Saeed

 


Menurut pakar ekonomi global itu: “Pada pendapat saya, model monetari FED menunjukkan isyarat merah kerana risiko dasar semakin mendalam.” 

 

“Ini tidak akan berakhir dengan baik dengan inflasi kembali dalam pasaran," tambahnya lagi.  

 

Shan menegaskan bahawa pasaran hutang memberi isyarat bahawa hasil akan meningkat lebih tinggi dalam 12-18 bulan akan datang meletakkan FED dalam tekanan yang luar biasa.  

 

Justeru tegas Shan, dolar akan menyusut dengan ketara dalam dua tiga suku akan datang.  

 

Dengan susut nilai dolar dan FED panik, sekumpulan mata wang dan mata wang pasaran baru muncul (Emerging Market currencies) akan meningkat tidak lama lagi. "Kami jangkakan Rupiah, Ringgit, Real, Rand, Dong dan peso meningkat lagi dalam dua tiga suku akan datang,” jelas Shan. 

 

Shan berkata “Kami di Juwai IQI menjangkakan Ringgit akan mencapai kestabilan struktur dan mengekalkan nilai pasaran saksamanya antara 4.10 dan 4.37 berbanding dolar menjelang akhir tahun.”  

 

“Konsistensi dasar Bank Negara Malaysia (BNM) dan pasaran kewangan yang stabil menyokong tinjauan ringgit. 

 

“Kami mengekalkan status quo pada prospek pertumbuhan KDNK untuk 2023: 4.5 hingga 5.5% dengan kestabilan pertumbuhan sama dengan penggunaan yang kukuh dan pelaburan yang kukuh di negara ini,” ujar beliau dengan penuh keyakinan. - DagangNews.com